WALAUPUN hujan lebat telah berhenti dan matahari kembali bersinar sejak tiga hari lalu, namun kita perlu ingat bahawa negeri-negeri di Pantai Timur masih lagi berada pada musim tengkujuh.
Memandangkan musim ini yang turut diselubungi tiupan angin kencang ekoran Monsun Timur Laut (MTL) yang beserta ombak besar, maka penulis berharap semua pihak khususnya rakyat di Terengganu tidak terlalu bergembira.
Sebaliknya, kita semua seharusnya sentiasa berwaspada memandangkan ancaman banjir masih boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.
Berdasarkan pengalaman lalu dan keadaan cuaca sekarang, penulis percaya kejadian banjir tidak hanya terhenti di sini sahaja.
Malah, banjir akan terus menjelma dan bakal melanda beberapa kawasan tertentu di negeri ini selagi musim tengkujuh belum berakhir.
Justeru, penulis berharap setiap penduduk di Terengganu khususnya mereka yang tinggal di kawasan berisiko mestilah sentiasa berhati-hati dan terus mengikuti perkembangan cuaca dari semasa ke semasa kerana hujan lebat mungkin bakal berulang dalam tempoh terdekat ini.
Penulis percaya banjir gelombang kedua yang melanda semua lapan daerah di negeri ini menyebabkan lebih 40,000 mangsa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pada minggu lalu adalah sebagai satu ‘peringatan’ atau ‘amaran’ kepada orang ramai khususnya mereka yang tinggal di kawasan rendah.
Dalam kejadian tersebut, daerah Kemaman merupakan paling ramai mangsa yang berpindah, namun kemusnahan menyebabkan kerugian harta benda adalah dilaporkan di daerah Besut.
Lebih lima buah rumah penduduk di Jertih Besut telah musnah dihanyutkan arus deras msnakala seorang mangsa turut mengalami kerugian lebih RM600,000 apabila 151 ekor lembu peliharaannya dihanyutkan banjir.
Penulis pada mulanya turut menggelabah dan berasa bimbang setelah berhadapan dengan keadaan hujan lebat secara berterusan tanpa henti pada minggu lalu, menyebabkan ramai yang terperangkap dan terpaksa ‘berkurung’ dalam rumah serta mencari tempat berteduh.
Ketika itu dalam hati penulis hanya terfikir sebarang kemungkinan, iaitu banjir lebih besar bakal melanda semua kawasan di negeri ini, apatah lagi di sana sini terdengar berita rumah penduduk berhampiran kampung penulis turut ditenggelami air.
Selain itu perkhabaran mengenai banyak jalan utama ditutup dan ada yang terputus hubungan beserta kejadian crunch runtuh di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Ajil sedikit sebanyak menggusarkan penulis.
Bagaimanapun dalam suasana kelam kabut dan ‘kehangatan’ orang ramai bercakap tentang banjir besar serta rumah tenggelam, tiba-tiba sehari kemudian hujan mula reda lalu berhenti disamping matahari pula mengintai di celah-celah awan.
Perkembangan itu sekaligus menyebabkan banjir beransur surut dan membolehkan mangsa yang berada di PPS telah pulang ke rumah masing-masing untuk membersihkan barang barang keperluan yang dipenuhi Lumpur.
Sehingga petang semalam, hanya terdapat 9,586 mangsa membabitkan 2,695 keluarga masih berada di 81 PPS di negeri ini.
Begitulah senario banjir yang melanda Terengganu pada kali ini.
Ia sememangnya amat berbeza dan di luar jangka berbanding dengan tahun tahun sebelum ini.
Biasanya hujan lebat secara berterusan tidak akan berhenti secara tiba-tiba, sebaliknya ia akan mulai reda selama beberapa hari sebelum berhenti dan cuaca panas.
Mengimbas kembali kejadian banjir pada tahun-tahun sebelum ini, penulis percaya ancaman MTL selepas ini adalah melibatkan penduduk berhampiran sungai dan mereka yang tinggal di pesisir pantai.
Perpindahan mangsa banjir selepas ini kemungkinan disebabkan fenomena air pasang besar serta hakisan pantai akibat angin kencang beserta ombak besar.
Leave a Reply