Respon terhadap Rafizi: Formula tangani inflasi

MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli diminta menyatakan langkah bersepadu di pihak kerajaan untuk menangani gangguan dan ketidakseimbangan dalam pasaran bagi menangani inflasi.

Berikut kenyataan penuh ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman dalam satu kenyataan semalam berhubung cadangan dikemukakan Rafizi kepada pengguna.

Terima kasih YB Rafizi, beri nasihat kepada pengguna untuk memilih kedai yang murah berbanding kedai yang mahal. Dengan harapan, peniaga yang jual mahal akan menurunkan harga apabila permintaan berkurang, maka inflasi akan turut berkurang.

Itu sifir mudah, konsep permintaan dan penawaran dalam sebuah pasaran yang rasional. Namun YB Rafizi pasti tahu pasaran hari ini tidak rasional, banyak gangguan, banyak kejutan, banyak ketidakseimbangan.

Justeru sebagai Menteri, jawapan yang lebih rasional ialah nyatakan langkah bersepadu di pihak Kerajaan untuk tangani segala gangguan dan ketidakseimbangan dalam pasaran.

Pertama, apakah pendirian Kerajaan terhadap monopoli, kartel, dan kuota.

Apakah langkah Kerajaan terhadap pembekal yang menyorokkan stok bekalan.

Apakah langkah awal Kerajaan untuk tangani kekurangan bekalan akibat musim hujan ataupun kemarau. Seterusnya apakah langkah awal Kerajaan untuk tangani kekurangan bekalan (cth. ayam, telur, tepung, gula, minyak masak) akibat permintaan yang meningkat mendadak di musim perayaan, samada raya cina mahupun raya puasa.

Jawapan kepada semua soalan ini adalah KUNCI untuk menyelesaikan masalah kenaikan harga barang dan kenaikan kos sara hidup yang membelenggu rakyat, dan inilah SOLUSI bagi menangani gangguan dan ketidakseimbangan dalam pasaran yang serba tidak rasional hari ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *