Warga emas antara 7 individu ditahan jadi keldai akaun

SEORANG warga emas berusia 61 tahun antara tujuh individu ditahan polis Pulau Pinang selepas dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kesemua mereka ditahan dalam beberapa siri serbuan di beberapa negeri antara Selasa lalu hingga semalam.

Tambahnya, suspek warga emas itu ditahan bersama seorang lagi suspek lelaki selepas disyaki menjadi keldai akaun sindiket dalam urusan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan dan penyamaran sebagai pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis.

Katanya, turut ditahan ialah empat suspek lelaki dan seorang wanita kerana disyaki menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan melibatkan penipuan tawaran kerja sambilan serta pinjaman wang tidak wujud dalam talian.

”Kesemua suspek yang berusia antara 27 hingga 61 tahun itu ditahan di sekitar Perak, Kuala Lumpur dan Selangor melibatkan kes-kes yang dilaporkan pada 2019, 2021 dan 2022.

”Jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa ialah antara RM1,330 sehingga RM19,200,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, kesemua mereka direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu katanya, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan antaranya jual beli di laman sosial, pinjaman tidak wujud, pelaburan tidak wujud, tawaran pekerjaan luar negara dan Macau Scam.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis Pulau Pinang turut berjaya menumpaskan sindiket memproses dan menjual air ketum selepas menahan 11 lelaki berusia 22 hingga 40 tahun dalam serbuan di sekitar Batu Maung, dekat sini semalam.

Menurut kenyataan IPD Barat Daya, sindiket itu dipercayai memproses air ketum di sebuah rumah sebelum menjualnya kepada pembeli tetutama pelanggan tetap dengan harga RM5 setiap bungkus.

“Dalam serbuan itu, polis merampas sebanyak 70 bungkus plastik lutsinar dipercayai berisi air ketum dan pelbagai peralatan untuk memproses air tersebut.

”Sindiket ini dipercayai mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap bulan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *