MUFTI Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, mengundi untuk mencari pemimpin yang dapat menjaga agama adalah perkara asas yang perlu difahami orang Islam dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

Katanya, menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam untuk menjaga agamanya dan mereka yang gagal berbuat demikian adalah berdosa.

“Dengan tidak mengundi, menyebabkan orang bukan Islam dan orang tidak menjaga Islam dilantik sebagai pemimpin yang akhirnya akan memudaratkan sehingga menyebabkan Islam dimusuhi, maka orang itu berdosa,” katanya lapor Berita Harian.

Semalam, dalam satu surat terbuka kepada jemaah haji dan umrah, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberi pesanan khusus mengingatkan mereka terhadap kewajipan mengundi pada pilihan raya.

Beliau berkata, umat Islam dibimbangi melakukan dosa besar kerana melanggar perintah Allah apabila tindakan tidak menunaikan kewajipan mengundi walaupun alasannya kerana ibadat haji dan umrah.

Katanya, orang Islam yang keluar mengundi hanya sekitar 60 peratus pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), berbanding 98 peratus orang bukan Islam yang berbuat demikian.

Abdul Rahman menjelaskan, mengikut hukum syarak, memilih atau mentaati atau berbaiah kepada pemimpin itu satu kewajipan.

Beliau berkata, tiada pemimpin selepas kemangkatan Rasulullah SAW, menyebabkan dibuat pemilihan pemimpin supaya ada orang yang boleh memimpin untuk menjaga agama Islam.

“Sebab itu, selepas baginda Rasulullah SAW mangkat, ada khalifah digantikan dengan Saidina Abu Bakar bagi memastikan Islam terus disebarkan kepada rakyat Makkah dan Madinah supaya yang belum beriman diIslamkan serta beriman kepada Allah,” katanya .

Beliau berkata, tugas pemimpin adalah memastikan Islam disebarkan dan memastikan rakyat beriman kepada Allah serta selamat dunia dan akhirat.

“Ini kerja mulia yang ditegaskan Rasulullah dan ditanggung pemimpin selepasnya. Maka, wajib untuk kita mencari pemimpin dalam kalangan orang beriman kepada Allah supaya dapat meningkatkan keimanan rakyat.

“Justeru, jika umat Islam tidak mengundi yang menyebabkan orang bukan Islam menjadi pemimpin, terutama jika mereka memusuhi Islam, maka akan berdosa.

“Jika pemimpin yang dipilih itu beriman, sudah tentu pemerintahannya bukan hanya menjaga masalah dunia saja seperti ekonomi dan keselamatan tetapi juga menyelamatkan rakyat daripada kekufuran dan terus beriman,” katanya.

Abdul Rahman mengambil contoh bagaimana Qatar berjaya menganjurkan Piala Dunia, yang mana bukan kejayaan penganjuran pertandingan bola sepak semata-mata, tetapi membuka mata dunia mengenai kejayaan dunia Islam itu.

Ditanya alasan umat Islam yang tidak mahu mengundi kerana mahu menunaikan haji dan umrah, katanya, haji itu wajib dan perlu dilaksanakan, namun umrah itu sunat dan boleh ditangguhkan.

“Kita perlu lihat kepada situasi apabila bercakap mengenai umrah dan pengundian ini. Pada saya, umrah boleh ditangguh tetapi pengundian sudah ada masa ditetapkan dan peluang itu hanya sekali.

“Perlu dilihat apa yang yang lebih utama, menyelamatkan negara atau melakukan ibadat bersifat sunat.

“Adakah umat Islam mahu membiarkan peluang mengundi itu diketepikan hingga menyebabkan orang tidak beriman dipilih memimpin negara, jika ia berlaku maka kita akan berdosa,” katanya.

Beliau juga menegaskan percanggahan pandangan oleh parti politik terutama parti orang Melayu untuk mempertahankan parti masing-masing tidak membawa makna jika asas pembentukan negara untuk mengajak orang ramai beriman kepada Allah tidak dapat dilaksanakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here