TUKANG kasut dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan membunuh anak perempuan sulungnya berusia sembilan tahun dan menyimbah seorang lagi anaknya dengan air panas menggelegak daripada cerek sehingga melecur di bahu dan lutut.
Mohd. Yasin Halik, turut didakwa menyimbah teman wanitanya seorang warga Indonesia yang ketika itu sedang tidur, dengan air panas sehingga mangsa melecur di bahagian punggung.
Kedua-dua anak perempuannya yang berusia sembilan dan enam tahun itu juga adalah warga Indonesia hasil bersekedudukan dengan teman wanitanya yang hanya dikenali dengan nama Suma, lapor Berita Harian.
Tertuduh hanya menangguk tanda memahami tuduhan membunuh anak perempuannya pada pukul 9 malam, 9 Disember lalu di sebuah rumah di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd. Yasin yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Majistret Wong Chai Sia kemudian menetapkan pada 21 Februari ini bagi sebutan semula kes.
Sementara itu, bagi tuduhan mencederakan teman wanitanya di tempat sama pada pukul 1 pagi 8 Disember lalu, Chai Sia menjatuhkan hukuman penjara empat bulan ke atas Mohd. Yasin selepas lelaki itu mengaku salah.
Bagi tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Ketika ditanya oleh majistret sama ada untuk merayu bagi diringankan hukuman, Mohd. Yasin hanya menggelengkan kepala.
Di Mahkamah Sesyen pula, Mohd. Yasin turut mengaku salah menyimbah air panas ke atas anak bongsunya berusia enam tahun enam bulan pada 1 Disember lalu dan Hakim, Norina Zainol Abidin, menetapkan pada 9 Januari ini bagi jatuh hukum.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya B Sareeka dan Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar.
Media sebelum ini melaporkan, seorang bapa ditahan polis kerana disyaki mendera anaknya hingga mati sebelum menanam mayat kanak-kanak itu berhampiran sebuah tempat riadah di Kuala Lumpur, bagi menyembunyikan jenayahnya.
Perbuatan kejam suspek itu terbongkar selepas polis menerima aduan teman wanita suspek memaklumkan anak perempuannya yang berusia sembilan tahun didera oleh teman lelakinya.
Teman wanita suspek yang juga seorang warga asing berusia 41 tahun, membuat laporan selepas mendapati anak yang berusia sembilan tahun dalam keadaan lemah dan darah keluar dari mulutnya, sebaik pulang bekerja.
Leave a Reply