PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berani dan bersedia menjelaskan persoalan ditimbulkan pembangkang, bukannya mengugut dengan tindakan guaman.
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata tindakan guaman dilakukan Anwar terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Ahmad Amzad Hashim jelas menunjukkan ia bagi melenyapkan semua kritikan.
“Kenapa sejak menjadi Perdana Menteri, Anwar sangat nipis telinga dan tidak boleh terima kritikan. Adakah Anwar mahu menjadi diktator yang tidak boleh dipersoal,” katanya dalam kenyataan, hari ini memetik laporan BH Online.
Semalam, Anwar memfailkan saman terhadap Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berhubung kenyataan fitnah yang mendakwa beliau menerima bayaran RM15 juta sebagai penasihat ekonomi Selangor.
Anwar memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi, menyatakan ucapan dan bahagian petikan yang menyinggung perasaannya itu diterbitkan semula di aplikasi TikTok melalui akaun di bawah nama @beritakini8 yang mendapat tontonan melebihi 1,100,000 kali, 6,061 komen, melebihi 21,400 butang ‘like’, melebihi 1,360 butang ‘favourite’, dan 2,169 kali perkongsian.
Bagi kes Ahmad Amzad, Anwar mengemukakan notis tuntutan supaya Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu memohon maaf tanpa syarat kerana didakwa memfitnah beliau berhubung penerimaan gaji RM1 ketika menjadi penasihat ekonomi Selangor dalam satu rakaman video.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut menuntut Ahmad Amzad meminta maaf kerana mempertikai pengampunan yang diperoleh bagi sabitan kes beliau.
Wan Saiful turut mencabar Anwar mengambil tindakan sama terhadap beberapa pihak lain yang membawa cerita tidak enak terhadap kewibawaannya.
Beliau berkata, sebagai contoh tindakan dilakukan Datuk Lokman Noor Adam dan agensi berita luar, Agensia Nova seperti didedahkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Dewan Rakyat.
“Dengan berbuat demikian, barulah Anwar boleh dilihat serius mempertahankan institusi Perdana Menteri dan bukan berterusan mempergunakan sistem perundangan secara selektif untuk bermain politik atau mengugut pengkritik,” katanya.
Hamzah ketika membahaskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri memetik laporan didakwa dikeluarkan sebuah portal berita di Itali yang mengaitkan Anwar dengan kegiatan homoseksual.
Setiausaha Agung BERSATU itu juga mendesak supaya Anwar mengambil tindakan undang-undang ke atas portal berkenaan.
Leave a Reply