SEBELUM Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) , pemimpin UMNO termasuklah ketua-ketua sayap parti itu sering menegaskan apa sahaja yang mereka lakukan adalah demi tuntutan ahli akar umbi.
Dasar ‘No Anwar,No DAP’ atas kemahuan akar umbi, tidak bekerjasama dengan Bersatu atas kehendak akar umbi dan bertanding solo dalam PRU-15 atas desakan akar umbi.
Tetapi apa yang berlaku selepas PRU-15 membuktikan suara akar umbi entah ke mana. Kekalahan paling teruk dalam sejarah pilihan raya bagi parti itu ternyata tidak menghalang barisan kepemimpinan parti melakukan percaturan politik tanpa lagi merujuk kepada ‘suara akar umbi’.
Dengan bersandarkan alasan ‘patuh kepada titah Agong’, UMNO dan BN melanggar dasarnya sendiri apabila lebih selesa untuk menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang hakikatnya hanya mendapat 11 peratus sahaja sokongan orang Melayu.
UMNO ada pilihan untuk bersama Perikatan Nasional yang mendapat sokongan 54 peratus sokongan Melayu tetapi tanpa bertanya dahulu kepada ‘akar umbi’, kepemimpinan UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan.
Ketika tindakan itu mendapat kecaman dan menjadi bahan kritikan dalam media-media sosial, sebahagian pemimpin UMNO terus mempertahankan langkah itu dengan alasan demi mewujudkan kerajaan yang stabil. Dan kini mereka bagaikan ‘menyeret’ parti itu ke dalam perangkap politik PH apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Gabungan Parti Kerajaan Perpaduan.
Melalui MoU itu, kesemua ahli Parlimen BN termasuk 26 daripada UMNO MESTI menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan menyokong usul yang dibentangkan kerajaan. Ia bermakna ahli-ahli Parlimen BN/UMNO bagaikan ‘ditutup mulut’ dan ‘diikat tangan’ untuk membuat keputusan sendiri. Mereka perlu mengikut rentak politik PH.
Kalau membantah, ‘hukumannya’ mereka boleh kehilangan kerusi Parlimen yang disandang. Walaupun pakar-pakar perundangan menganggap MoU itu tidak berperlembagaan namun ia ia tidak mampu menutup hakikatnya bahawa UMNO kini ‘sudah kehilangan segala-galanya’.
Sudahlah prinsip,dasar dan ketetapan parti sekadar menjadi ‘hiasan’, kini hala tuju UMNO pula semakin bercelaru. Dengan menjalinkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan diterajui PH yang DAP memiliki kerusi terbanyak ‘suara’ UMNO akan terus tenggelam.
Perlu diingatkan kerajaan pimpinan Anwar mempunyai majoriti dua pertiga, maknanya 148 kerusi, kalaupun BN menarik diri (sesuatu yang tak mungkin berlaku) – Anwar masih ada sokongan 118 ahli Parlimen. Maknanya, peluang untuk suara UMNO dipinggirkan amat tinggi. Kalau itu berlaku apa lagi yang UMNO ada? Sudahlah kalah teruk akibat ditolak rakyat dalam PRU, ‘tangan pula terikat’ dengan MoU. Bijak sungguh kepemimpinan UMNO membuat percaturan.
Apa akar umbi boleh buat? Mereka tidak boleh berbuat apa-apa sebaliknya hanya menonton sahaja ‘percaturan’ politik kepemimpinan atasan yang ‘Bersatu Bersama PH’, ‘Bersetia Dengan Anwar’ dan “Berkhidmat Bersama-sama DAP’.
Leave a Reply