SEORANG lelaki warga Bangladesh didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Klang, hari ini, atas pertuduhan sengaja mengaibkan dan membangkitkan kemarahan seorang individu warga tempatan, yang diketahui akibatnya akan memecahkan keamanan awam pada November lalu.
Majistret P Sarulatha menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Hosin Ab Diplap, 27, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Lapor Berita Harian, mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjarakan selama lima bulan jika gagal membayar denda itu. Tertuduh membayar denda berkenaan.
Mengikut kertas pertuduhan, Hosin didakwa dengan sengaja mengaibkan dan membangkitkan kemarahan seorang lelaki berusia 29 tahun, yang mana tertuduh mengetahui akibatnya akan memecahkan keamanan awam.
Tertuduh yang bekerja sebagai operator di sebuah kilang, dekat sini, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Bukit Raja, di sini, kira-kira pukul 12.40 tengah hari 26 November lalu.
Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan membabitkan penjara hingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Jannah Aimi, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh berikutan tindakannya yang tidak menghormati Malaysia.
Beliau menjelaskan, hukuman itu adalah untuk memberi pengajaran kepada tertuduh, manakala Hosin yang tidak diwakili peguam pula memohon maaf kepada Malaysia atas tindakannya. Malah, tertuduh turut menyatakan dirinya menyukai dan sayangkan negara ini.
Pada 27 November lalu, media melaporkan seorang lelaki warga Bangladesh ditahan kerana didakwa memasang Jalur Gemilang secara terbalik di luar unit kediamannya.
Tindakan lelaki itu yang disifatkan sebagai biadab, turut ditegur Pengerusi Komuniti pangsapuri berkenaan tetapi dia didakwa berdegil menyebabkan penduduk membuat laporan polis.
Leave a Reply