APABILA kerajaan Perpaduan Anwar-Zahid memulakan tugas mereka, sering kedengaran laungan supaya kepimpinan itu perlu mengetepikan perbezaan prinsip dan terus bergerak ke depan untuk memulihkan ekonomi negara.
Ada juga yang mengatakan bahawa kerajaan PH-BN ini perlu diberi peluang untuk memimpin dan menunaikan janji-janji mereka serta pada masa sama isu politik yang menjadi persoalan rakyat perlu diketepikan demi kepentingan negara.
Terdapat kalangan menteri yang bersemangat mahu mengasingkan antara tugas rasmi sebagai menteri dan pemimpin politik apabila mereka tidak mahu menjawab soalan-soalan pemberita berkaitan politik semasa program rasmi kerajaan.
Baguslah kalau begitu kerana PRU15 sudah pun berlalu dan rakyat mahu lihat apa tindakan kerajaan baru ini untuk membela nasib rakyat yang sedang terhimpit dengan pelbagai cabaran akibat kos sara hidup yang tinggi.
Tetapi apabila Tok Chey membaca kenyataan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail yang mengumumkan bahawa Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan jelajah enam negeri bagi menghadapi pilihan raya negeri dengan mengatakan ia adalah tugas ‘maha mustahak’, maka ia menimbulkan pelbagai tanda tanya.
Adakah benar kerajaan ini terlalu bimbang dengan kebangkitan Perikatan Nasional (PN) hinggakan terlalu awal memukul gong pilihan raya negeri sedangkan kita semua baru saja selesai menghadapi PRU15?
Jawapannya sudah tentu Ya! Jika kita teliti kepada keputusan PRU15, tidak dapat dinafikan bahawa sokongan terhadap PN meningkat dengan drastik sekali walaupun serangan terhadap gabungan itu datang daripada pelbagai penjuru.
Bahkan, sesuatu yang tidak dijangka apabila anak-anak muda yang pertama kali mengundi, tanpa sebarang paksaan turut menyokong PN kerana mereka yakin dengan agenda yang dibawa kepimpinan parti itu.
Bayangkan apa berlaku kepada keputusan undian semasa PRU15 apabila BN dan PH mengumumkan yang mereka akan bekerjasama membentuk kerajaan kerana dalam keadaan kedua-dua gabungan itu menyembunyikan hubungan sulit mereka pun undi Melayu sudah banyak beralih kepada PN.
Oleh sebab itu, wujud kebimbangan oleh BN-PH mereka akan kehilangan sokongan pada PRN akan datang hingga terpaksa mengadakan jelajah untuk meyakinkan rakyat untuk menyokong kerajaan yang dibentuk hasil pakatan yang tidak dijangka oleh pengundi.
Tok Chey berpandangan adalah sukar bagi PH dan BN untuk menghalang gelombang sokongan rakyat terhadap PN di enam negeri yang akan mengadakan PRN pada tahun depan.
Ini kerana dua keputusan pilihan raya baru-baru ini iaitu Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman telah memberikan petunjuk awal tahap sokongan rakyat ketika ini.
Di kerusi Parlimen Padang Serai misalnya, PN merampas kerusi itu daripada PH apabila calon PN, Azman Nasrudin memenangi kerusi itu dengan majoriti lebih 16,000 undi.
Begitu juga signal di DUN Tioman apabila BN hanya mampu mengekalkan kerusi DUN itu dengan hanya 500 undi sahaja, satu kemorosotan yang ketara berbanding PRU14 apabila memperolehi kira-kira 11,000 undi.
Oleh itu, walau apa pendekatan diguna sekalipun untuk berkempen pada PRN akan datang, Tok Chey rasa adalah sukar bagi PH dan BN untuk meraih sokongan rakyat kerana pengundi sudah serik dipermainkan pada PRU15 yang lalu.
Mereka tidak akan lupa segala pembohongan yang telah dilakukan dan akan disematkan hingga bila-bila kerana ini adalah bukan kali pertama penyokong akar umbi ditipu oleh pemimpin atasan.
Jika tidak percaya, singgahlah lihat komen-komen rakyat di media sosial bagaimana mereka terluka dengan penipuan semasa PRU15 dan tidak lagi akan membenarkan diri mereka menjadi mangsa penipuan yang seterusnya.
Leave a Reply