SEJAK Khamis lalu, negeri-negeri di Pantai Timur termasuk Terengganu telah dilimpahi hujan lebat menyebabkan beberapa kawasan tertentu mula dilanda banjir.
Perkembangan ini turut menggambarkan bahawa musim tengkujuh sudah bermula dan seperti biasa apabila tibanya musim yang dianggap oleh kebanyakan penduduk di Terengganu sebagai ‘musim sengsara’ ini, ia turut menjejaskan pelbagai perancangan aktiviti setempat.
Malah, setiap kali ketibaan tengkujuh, antara yang paling terasa adalah golongan nelayan pantai dan juga petani.
Ini kerana, pada musim tengkujuh golongan berkenaan terpaksa berkurung dalam rumah sehingga tempoh tertentu ekoran tidak dapat menjalankan rutin kerja seperti biasa.
Bagi nelayan, terutama yang menggunakan bot-bot kecil, mereka tidak mampu keluar menangkap ikan di laut kerana ketika ini angin Timur Laut agak kencang disamping ombak besar dan bergelombang menghalang mereka berbuat demikian.
Sebab itulah, sejak dari dahulu lagi apabila tiba musim tengkujuh, kebanyakan nelayan terpaksa melabuhkan bot-bot mereka di dalam muara.
Namun begitu, terdapat juga segelintir nelayan khususnya bot laut dalam masih sanggup menggadai nyawa dengan meredah lautan penuh bergelora itu demi mencari rezeki untuk keluarga.
Bagi sesetengah nelayan, laut seperti tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan mereka dan sekiranya tidak turun ke laut, bermakna dapur tidak akan berasap!, menyebabkan anak-anak kelaparan.
Berdasarkan itulah mereka seakan tidak gentar melakukan aktiviti berkenaan walaupun terpaksa berhadapan dengan maut dan adakalanya bot yang dinaiki pernah tenggelam di tengah lautan.
Manakala bagi petani pula, pada musim seperti ini mereka hanya mampu merenung ke arah sawah bendang yang seolah olah berubah wajah bertukar menjadi lautan akibat ditenggelami air.
Jika bernasib baik, ada di antara petani terbabit masih berpeluang mengutip hasil tanaman masing-masing untuk dijual kepada orang ramai,tetapi sekiranya rosak sudah pasti mereka terpaksa menanggung kerugian.
Begitulah ujian dan nasib kehidupan golongan nelayan dan petani di Terengganu sepanjang mengharungi musim tengkujuh yang turut menyebabkan berlakunya kejadian banjir di beberapa kawasan tertentu.
Bagi masyarakat di Terengganu, musim tengkujuh bukan sahaja dikaitkan dengan musim sengsara, sebaliknya ia turut meletakkan mereka berada dalam kebimbangan dan keresahan terutama yang tinggal di pesisir pantai dan di kawasan rendah.
Hal ini kerana perkampungan di pesisir pantai bukan sahaja terdedah kepada tiupan angin kencang, sebaliknya ia turut berisiko dari segi ancaman ombak besar, hakisan pantai dan juga air laut pasang yang boleh menyebabkan rumah mereka musnah.
Manakala bagi penduduk yang tinggal di kawasan rendah pula, hujan lebat secara berterusan selama beberapa hari boleh mengakibatkan kediaman mereka ditenggelami air.
Selain itu, fenomena air pasang besar disamping berlakunya pertembungan air laut dengan air di hilir sungai juga boleh menyebabkan berlakunya kejadian banjir ekoran paras air naik dan melimpah secara mendadak.
Dalam perkembangan banjir yang berlaku di Terengganu, sehingga pukul 7 pagi ini (Ahad) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melaporkan seramai 585 mangsa membabitkan 150 keluarga telah dipindahkan ke 10 Pusat Pemindahan Sementara(PPS).
Antara daerah terlibat ialah Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Kemaman dan Setiu.
Memandangkan hujan masih berterusan dan bacaan beberapa paras sungai yang terus meningkat adalah dijangka jumlah mangsa berpindah akan terus bertambah.
Justeru, penulis ingin menasihati kepada semua penduduk yang tinggal di kawasan agar terus berwaspada dan sentiasa mendengar arahan daripada pihak berkuasa.
Leave a Reply