Oleh RIZQI ZABIDI
DAKWAAAN kononnya kemenangan Perikatan Nasional (PN) berjaya memenangi hati masyarakat Melayu dan Islam dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 dengan memainkan sentimen perkauman serta keagamaan sempit adalah satu tuduhan yang tidak berasas.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perjuangan dibawa parti-parti yang mendokong PN termasuk Pas diyakini sama sekali tidak menyalahi undang-undang mahu pun Perlembagaan parti masing-masing yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan ROS.
“Pas ini Parti Islam Semalaysia maka kami sudah jelas bahawa kami memang memperjuangkan Islam seperti yang tertera dalam nama parti itu. Kami bukan permainkan isu agama sebaliknya memprjuangkannya, jadi di mana salah dan silapnya serta apa yang hendak dipersoalkan?
“Begitu juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang meletakkan nama Pribumi dalam namanya. Tetapi bagi Parti Amanah Negara (Amanah), kami tak tahulah apa yang mereka perjuangkan.
“Barisan Nasional (BN) pun sama, entah apa diperjuangkan mereka kerana nampaknya sebelum ini mereka maki Pakatan Harapan (PH) dan DAP tetapi pada akhirnya berkawan semula,” katanya dalam sidang akhbar sempenaMajlis Penutup Jelajah Kedah Sejahtera Daerah Kubang Pasu di Masjid Haji Ismail dekat Jitra, hari ini.
Baru-baru ini Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin yang mendakwa, kekalahan PH di Padang Serai adalah disebabkan rentetan gelombang yang ditiup dengan membawa sentimen perkauman, keagamaan sempit sekali gus menakutkan masyarakat dan rakyat dalam berpolitik.
Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, beliau beranggapan perjuangan BN dan PH ketika ini sudah pun hancur dengan hanya parti-parti yang mendokong PN saja dilihat masih terus kekal berada di atas garis perjuangan Perlembagaan masing-masing.
“Tsunami Melayu dalam PRU-15 yang membawa sokongan besar kepada PN adalah disebabkan rasa hilang percaya rakyat terhadap parti-parti lain. Parti-parti lawan ini dilihat tidak melaksanakan apa yang mereka katakan.
“Kami sebaliknya tetap dengan perjuangan parti dan menawarkan perkara paling diperlukan negara ini iaitu keprihatinan, bersih dan stabil. Kerana itulah orang menyokong PN,” katanya.
Terdahulu ketika berucap dalam majlis tersebut, Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri telah memutuskan untuk tidak melakukan sebarang rombakan terhadap kedudukan Ahli Majlis Kerajaan Tempatan serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Kedah.
“Mereka yang memegang jawatan itu merupakan ahli macam-macam parti termasuk Pas, UMNO, Bersatu, Part Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan macam-macam lagi. Mereka ini dilantik sejak awal dulu terdiri daripada pemimpin tempatan yang diyakini dan dipercayai boleh memberi khidmat selain dihormati dalam komuniti masing-masing.
“Saya dah nyatakan dalam Mesyuarat Exco minggu lalu yang kita takkan mengganggu sesiapa. Jadi jalankanlah tugas seperti biasa dan teruskan khidmat bakti anda seperti biasa tanpa segan silu walaupun parti anda tak sama dengan saya,” katanya.
Tambahnya, beliau tidak dapat berbuat apa-apa sekiranya ada dalam kalangan mereka yang memegang jawatan tersebut mahu berhenti disebabkan arahan daripada parti politik masing-masing.
“Tetapi di pihak kerajaan negeri saya dah tegaskan agar mereka ini tidak diganggu. Teruskanlah berkhidmat hingga Pilihan Raya Negeri akan datang.
“Walaupun politik berkocak akibat pertembungan parti, saya harap ‘enjin’ kerajaan negeri ini dapat terus berfungsi. Biarlah ‘gearnya’ dapat masuk dengan elok untuk kita terus berjalan dan membawa negeri ini ke depan demi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.
Leave a Reply