BEKAS Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan beliau tidak pernah menandatangani sebarang Surat Setuju Terima (SST) kepada mana-mana syarikat berhubung projek tebatan banjir.
Beliau turut mempersoalkan jumlah peruntukan RM7 bilion yang hendak dikaji semula oleh Kerajaan Persekutuan seperti diumumkan Perdana Menteri, baru-baru ini berikutan peruntukan asal adalah RM15 bilion.
“Setakat ini, tidak ada SST yang dikeluarkan kepada mana-mana syarikat. Jadi, tidak timbul soal hendak batal sebab ia tidak lulus dan belum dimulakan lagi, selain saya tidak pernah menandatangani peruntukan RM15 bilion ini.
“Saya juga tidak pasti dari mana datangnya jumlah RM7 bilion yang dibangkitkan ini,” katanya di Kota Bharu hari ini.
Beliau menyatakan demikian selepas Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih Tahun 2022 dan Pelancaran Dasar Kelantanku Bersih, yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, setiap kali banjir negara mengalami kerugian antara RM6 bilion hingga RM7 bilion dan disebabkan itu isu tebatan banjir perlu diberi perhatian yang serius.
Beliau memberi contoh projek tebatan banjir Sungai Golok perlu disegerakan kerana jika tidak, Rantau Panjang dan Pasir Mas, Tumpat akan dilanda banjir setiap tahun.
“Ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri, beliau melihat perlu kepada dana yang besar diperuntukkan sebanyak RM15 bilion, namun ia belum dilaksanakan dan baru dalam proses.
“Keutamaan diberikan kepada perkara yang perlu diberi perhatian. Ia bukan sahaja membabitkan tebatan banjir, malah naik taraf sistem.
“Sebagai contohnya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) perlu dinaik taraf, termasuklah amaran awal banjir kepada pengguna dan ia membabitkan satu pakej yang besar, namun satu pun belum diluluskan lagi,” katanya, lapor Berita Harian.
Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion tidak diteruskan.
Beliau dipetik berkata, ia membabitkan kelulusan secara rundingan terus yang diluluskan sebelum ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan dilaporkan berkata, pegawai kementerian itu sudah diminta untuk meneliti semula kelulusan yang diberikan bagi memastikan ia mematuhi prinsip ketelusan dan peraturan yang ditetapkan.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, hampir setiap tahun negeri di Pantai Timur mengalami banjir sejak berpuluh-puluh tahun lalu dan seolah-olah tidak ada langkah penyelesaian dilaksanakan.
Beliau bagaimanapun berkata, projek tebatan banjir fasa pertama sudah dilaksanakan dan berharap kerajaan baharu dapat meneruskannya.
“Secara peribadi, saya rasa perkara ini (projek tebatan) perlu diteruskan demi kepentingan rakyat dan kepentingan negara untuk mengurangkan bencana, kematian serta kerugian.
“Jika ia tidak dilaksanakan, negara akan mengalami kerugian hampir RM7 bilion setahun. Namun, bergantung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskannya ataupun tidak,” katanya.
Leave a Reply