Oleh MOHD LAZIM ENDUT
PERCATURAN Barisan Nasional (BN) untuk berganding bahu dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan dijangka membawa padah dan impak amat besar ke atas gabungan parti berkenaan.
Setelah kehilangan banyak kerusi tradisi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) 19 November lalu, BN dilihat semakin terkial-kial serta ‘hilang arah’ apabila pucuk kepimpinannya dikatakan membuat keputusan silap dan tidak selari dengan kemahuan peringkat Bahagian dan juga akar umbi.
Hal ini berlaku kerana BN kini dikatakan sedang berhadapan dengan konflik serta masalah dalaman agak serius sehingga wujud beberapa kem tertentu dalam parti tersebut.
Bermula dengan isu pemilihan calon ketika PRU15, penyingkiran nama-nama besar parti itu sehingga kepada gesaan supaya Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan, ia membuktikan bahawa BN kini sedang berhadapan dengan saat paling mencabar.
Berdasarkan pandangan pelbagai pihak termasuk penganalisis serta pemerhati politik tempatan, kekalahan besar BN pada PRU kali ini bukan hanya disebabkan tsunami Melayu dan pengundi 18 semata-mata.
Sebaliknya, banyak pihak berpendapat ia adalah berpunca daripada protes dilakukan oleh sebahagian besar ahli parti sendiri.

Malah, protes bukan sahaja berlaku di Kelantan, Kedah dan Terengganu, tetapi turut melibatkan kebanyakan kerusi Parlimen di seluruh negara.
Sebab itulah kalau diperhatikan, kebangkitan PN di kebanyakan kerusi dimenangi, ia seperti fenomena dan kejutan baharu dalam dunia politik tanah air.
Perkembangan itu dilihat sebagai satu kebangkitan mendadak setelah rakyat berasa semakin muak terhadap pemimpin politik yang dikatakan tidak berprinsip dan pentingkan kuasa.
Rakyat pada mulanya ingin melihat selepas pasca PRU15 akan wujud gandingan kerajaan PN-BN, bukannya PH-BN?
Hasrat itu dialunkan setelah PRU kali ini tidak ada parti yang memperoleh kemenangan dengan majoriti mudah dua per tiga.
Apa yang menarik, dalam episod ke dua PRU15 membabitkan Parlimen Padang Serai, PN sekali lagi berjaya membuktikan rakyat semakin dekat dengan mereka setelah calonnya, Datuk Azman Nasruddin menang dengan majoriti agak besar iaitu 16,260 undi.

Azman yang mendapat 51,637 undi menewaskan calon PH, Dr. Mohamad Sofee Razak yang mendapat 35,377 undi serta dua calon tarik diri Datuk C. Sivaraj (BN) 2,983 undi dan Mohd Bakhri Hashim (Warisan)149 undi.
Calon lain turut bertanding ialah Sreanandha Rao (Bebas) 846 undi dan Hamzah Abd Rahman (Pejuang) 424 undi.
Manakala di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pula, BN hanya menang tipis dengan majoriti 573 undi melalui calonnya Datuk Seri Johari Husain yang mendapat 8,080 undi.
Beliau menewaskan calon PN, Nor Idayu Hashim yang mendapat 7,507 undi, Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) 780 undi, Osman Bakar (Pejuang) 79 undi dan Sulaiman Bakar (Bebas) 58 undi.
Melihat perkembangan ini, apakah BN akan terus berputih mata pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi?
Adalah tidak mustahil PN akan terus mendominasi kemenangan hesar di Kelantan, Kedah dan Terengganu serta mampu pula untuk merampas Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Sekiranya ia berlaku, bermakna PN kini semakin berselera untuk mengambil alih pucuk pimpinan pemerintahan negara bagi menggantikan era pemerintahan BN yang bakal berakhir.
Leave a Reply