Penduduk gempar dua ekor buaya air masin masuk kampung

PENDUDUK perkampungan Surat Thani, Selatan Thailand digemparkan dengan kehadiran dua ekor buaya air masin sepanjang empat dan hampir dua meter malam tadi.

Memetik laporan The Thaiger, kedua-dua ekor reptilia itu ditemui di dalam parit yang hanya terletak kira-kira 100 meter sahaja dari kawasan kampung.

Menurut Ketua Kampung, Samnuan Thongsri, beliau telah meminta penduduk kampung mengawasi kedudukan buaya sementara menunggu pasukan penangkap buaya tiba ke lokasi.

Jurucakap Jabatan Perikanan Thailand, Pilaiporn Thongmak berkata, beliau menganggarkan berat buaya sepanjang empat meter itu melebihi 150 kilogram.

“Sementara seekor buaya kecil itu mungkin tersesat ketika cuba memasuki Terusan Kanthuli, yang sepatutnya membawa ia ke laut,” katanya.

Difahamkan, para penangkap buaya mengambil langkah berhati-hati ketika menangkap reptilia itu kerana diketahui ia lebih agresif daripada buaya air tawar.

“Kedua-dua diikat dan buaya lebih besar itu ditutup mata bagi memastikan ia kekal tenang”.

Jelasnya, kedua-dua buaya itu dibawa ke Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Perikanan Surat Thani di daerah Phun Phin untuk dijaga.

Katanya, buaya tersebut berkemungkinan datang daripada kawasan ladang yang mengalami banjir di tempat berdekatan.

“Ini satu-satunya penjelasan yang realistik bagi buaya air masin yang ditemui dalam jarak 10 kilometer dari pantai,” katanya, lapor Utusan TV.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *