SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) perlu tegas melarang parti politik memberi “hadiah” ketika kempen, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang merujuk janji ditabur Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya DUN Tioman.
Tegas ketua pembangkang DUN Pahang itu, ia jelas satu salah guna kuasa yang dilakukan pihak yang bertanding walaupun ia dari kerajaan negeri.
“SPR perlu tegas melarang pemberian pelbagai ‘hadiah’ dalam musim kempen sebagai rasuah politik, seperti pemberian geran tanah, projek segera dan apa jua bentuk pemberian kepada pengundi.
“Ia jelas salah guna kuasa yang dilakukan oleh pemerintah,” katanya kepada Free Malaysia Today.
Tuan Ibrahim merujuk kepada beberapa pengumuman kerajaan Pahang yang diketuai Wan Rosdy Wan Ismail daripada BN kepada penduduk DUN Tioman sekiranya gabungan itu menang.
Antaranya menaik taraf jeti kargo di Kampung Tekek, Pulau Tioman bernilai RM8 juta; membina masjid baharu di Felda Selendang, Kuala Rompin (RM3 juta), membina stadium mini baharu di Kampung Kolam, Kuala Rompin (RM15 juta); dan membaik pulih jeti Kampung Juara, Kampung Salang dan Kampung Genting, Pulau Tioman (RM22.6 juta).
Pada pilihan raya DUN Tioman, calon BN Datuk Seri Johari Hussain mengekalkan kemenangan di kerusi berkenaan dengan majoriti 573 undi.
Seksyen 7 hingga 11 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 mengingatkan semua parti politik dan calon pilihan raya supaya mematuhi peraturan khusus berkaitan salah laku dan aktiviti rasuah.
Mengikut peruntukan undang-undang itu, segala bentuk rasuah dinyatakan adalah berkaitan aktiviti penyamaran; jamuan; pengaruh tidak wajar dan penyogokan yang mana ia mungkin boleh berlaku sama ada sebelum, semasa atau selepas tempoh pilihan raya diadakan.
Jika berlaku aktiviti dan salah laku rasuah, pesalah boleh dikenakan tindakan atau hukuman penjara serta denda, sekali gus boleh mengakibatkan kekosongan kerusi seseorang calon yang mana pilihan raya kecil perlu diadakan.
Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian dan ADUN Cheka membidas badan bukan kerajaan (NGO) seperti Bersih yang sebelum ini lantang mengkritik salah laku parti politik sepanjang berkempen yang hanya menutup mulut walaupun kesalahan itu dikesan berlaku di DUN Tioman.
“NGO Bersih yang konon berjuang sistem pilihan raya adil, jangan tutup mulut bila dilakukan oleh parti mereka dan hanya bising bila PN melakukannya,” katanya.
Leave a Reply