PEGUAM bela bagi pendakwah selebriti, Azman Syah Alias atau PU Azman mempertimbang untuk mengemuka representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), berkaitan lima pertuduhan terhadap anak guamnya.
Peguamnya, Mohamad Zahid Ahmad berkata, pihaknya perlu meneliti dokumen yang diserahkan oleh pihak pendakwaan terlebih dahulu, sebelum menghantar representasi berhubung lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki.
“Kita akan kemukakan satu representasi kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertimbangan, antara niat kita untuk teliti balik kes ini, kalau ada pertimbangan yang terbaik untuk tarik balik kita akan cuba hantar surat itu.
“Kita ikut proses undang undang, kalau ada pertuduhan kita akan pergi dan kita akan lawan ikut proses sedia ada. Semua dokumen yang pihak pendakwaan akan guna untuk perbicaraan, itu yang kita terima hari ini,” katanya memetik laporan Astro Awani.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Seremban hari ini.
Sebelum ini, PU Azman pada Oktober lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas lima pertuduhan melakukan amang seksual ke atas dua remaja lelaki bawah umur, pada Februari dan Julai lalu.
Dalam prosiding di hadapan Hakim Datin Surita Budin, Mohamad Zahid sebelum ini memohon tempoh sebulan setengah untuk meneliti dokumen, sebelum sebutan semula kes ditetapkan.
Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi sebelum itu memaklumkan dua dokumen sedia diserahkan kepada pihak pembelaan hari ini.
Semalam, PU Azman, 41, turut dihadapkan ke Mahkamah Klang, atas empat pertuduhan jenayah seksual membabitkan tiga remaja lelaki antara Februari hingga Ogos lepas.
Beliau didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang, Klang, masing-masing pada 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Feb serta 29 Jun lepas.
PU Azman turut didakwa atas satu pertuduhan menggalakkan seorang lagi remaja lelaki berusia 17 tahun dengan berkomunikasi secara seksual melalui aplikasi WhatsApp sekitar 4 petang hingga 7.30 malam di sebuah rumah di Kampung Meru pada 16 ogos lepas.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Azman Syah didakwa atas satu lagi pertuduhan melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki lain berusia 19 tahun di sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek, pada 9.15 malam pada 10 Jun lepas.
Leave a Reply