Adakan pilihan raya pada hari cuti, gesa Tuan Ibrahim

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) digesa mengadakan mana-mana pilihan raya khasnya pilihan raya negeri (PRN) pada hari cuti bukan pada hari bekerja sebagaimana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman dan Parlimen Padang Serai semalam.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, peratusan keluar mengundi DUN Tioman sebanyak 58.39 peratus adalah rendah.

Menurut beliau, keadaan itu berlaku apabila sebahagian besar pengundi DUN Tioman bekerja di luar kawasan khasnya Lembah Klang dan faktor jarak yang jauh menyukarkan mereka pulang mengundi.

“Saya mahu menarik perhatian agar pihak SPR supaya pada masa-masa akan datang mengadakan pilihan raya pada hari cuti terutamnya hari Sabtu.

“Peratusan keluar mengundi di DUN Tioman sangat rendah khususnya kerana pengundi sebahagian besarnya bekerja di Lembah Klang dengan jarak yang amat jauh sekali gus menyukarkan mereka pulang mengundi,” katanya menerusi ucapan yang disiarkan dalam Facebook beliau.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, peratusan keluar mengundi rendah juga tidak mencerminkan kehendak sebenar pengundi.

Namun katanya, beliau tetap berharap SPR dapat mempertimbangkan cadangan itu terutamanya menjelang PRN di enam negeri bagi membantu pengundi pulang mengundi.

“Apapun kita harapkan perkara ini dapat dipertimbangkan oleh pihak SPR supaya pengundian pilihan raya kecil (PRK), PRN diadakan pada hari cuti umum supaya ia akan bantu pengundi-pengundi untuk pulang mengundi,” tambahnya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim merakamkan terima kasih beliau kepada anggota pasukan keselamatan dan SPR kerana berjaya memastikan pilihan raya Padang Serai dan Tioman berlangsung dengan aman damai.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada kepimpinan, jentera dan penyokong Perikatan Nasional (PN) kerana kerjasama kukuh antara mereka berjaya memastikan kemenangan calon gabungan itu di Padang Serai selain mengecilkan undi diterima gabungan BN-PH di Tioman.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *