Apa yang pelik dengan kerajaan Anwar-Zahid

Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

SEMUA sedia maklum yang rakyat ketika ini menghadapi masalah telur di pasaran yang berlanjutan dalam tempoh agak lama.

Dengan tertubuhnya kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi, rakyat pada mulanya ingat bekalan akan pulih kerana Anwar mengumumkan bekalan kembali stabil selepas beliau mengangkat sumpah.

Rupa-rupanya ia tidak berlaku seperti diperkatakan kerana masih terdapat masalah kekurangan bekalan dan aduan daripada pengguna yang telah terbeli telur busuk dan rosak di pasaran.

Selepas mesyuarat kabinet pertama, Anwar pada sidang medianya berkata, Mat Sabu yang menjadi menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal pertanian dan sekuriti makanan akan mengumumkan harga baru telur yang lebih rendah pada hari Selasa iaitu semalam.

Tetapi, pengumuman yang ditunggu-tunggu tidak pula dibuat. Yang diumumkan oleh Mat Sabu ialah langkah mengimport telur dari beberapa negara yang dikenal pasti bagi menampung keperluan pasaran tempatan.

Dah masuk hari Rabu, tiada pula pengumuman penurunan harga telur seperti yang dikatakan oleh Anwar. Adakah rakyat kena tipu lagi seperti mana mereka menipu mengenai hubungan BN-PH?

Di samping itu, ketika semua orang sibuk memperkatakan mengenai masalah bekalan telur, lain pula yang difokuskan oleh kerajaan Anwar-Zahid. Kerajaan ini menyentuh mengenai isu beras yang tidak menjadi masalah langsung ketika ini.

Penulis sendiri tidak pernah menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan beras dan ada macam-macam jenis varian dan harga beras di pasaran.

Jika ada duit lebih boleh beli yang harga T20, tetapi jika duit tidak tebal seperti orang lain, cukuplah sekadar membeli beras yang paling murah.

Yang peliknya, Anwar pantas mengulas mengenai isu beras dan meminta Syed Mokhtar membantu petani dengan bantuan puluhan juta.

Penulis setuju petani dibantu dengan pelbagai imbuhan untuk meningkatkan taraf hidup mereka dan tindakan itu sepatutnya dibuat kepada taikun-taikun lain yang kekayaan mereka jauh lebih banyak berlipat kali ganda berbanding Syed Mokhtar.

Tindakan biar adil supaya tidak menimbulkan persepsi buruk terdapat agenda tertentu terhadap usahawan Melayu yang telah banyak membantu rakyat melalui yayasannya itu.

Dalam sidang media sama, kerajaan Anwar-Zahid turut menekankan mengenai pengurangan cabutan khas nombor ramalan judi dari 22 kali kepada 8 kali setahun.

Penulis tidak setuju dengan tindakan itu kerana apa yang sepatutnya dilakukan ialah mengharamkan terus judi kerana 8 atau 22 kali cabutan pun, ia tetap judi.

Bagi orang Islam yang tidak pernah mendekatkan diri dengan judi, ia tidak membawa sebarang makna kerana tiada kaitan dengan mereka dan bagi bukan Islam pula, ia menyebabkan pelbagai masalah kepada kaki judi dari segi masalah sosial dan kewangan.

Banyak yang mengalami kerugian tergadai harta benda apabila terjebak dengan judi. Jika benar-benar mahu lihat isu ini dengan serius, sepatutnya tutup pusat-pusat judi yang ada di dalam negara dan judi online yang berleluasa ketika ini yang boleh dimainkan tanpa mengira waktu dan tempat.

Dan dengan menuduh Perikatan Nasional menggunakan wang judi untuk berkempen adalah satu tuduhan yang serius. Ia perlu dikemukakan dengan bukti jelas kerana jika tidak, ia adalah fitnah untuk menjatuhkan imej pihak lawan.

Penulis sendiri berasa sangsi dengan tuduhan itu kerana pemimpin yang menuduh adalah kerajaan yang tertubuh hasil penipuan terhadap pengundi manakala parti yang dituduh terbukti dengan prinsip integriti. Pelik bukan?

Penulis adalah Penganalisis politik dan ekonomi

WartaRakyat tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis yang disiarkan dalam entri media sosial beliau dan tidak semestinya menggambarkan pendirian WartaRakyat


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *