PENTADBIRAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dianggap tidak berpegang kepada kedaulatan undang-undang atau ‘rule of law’ apabila melantik seseorang yang sedang berdepan kes mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).
Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tindakan Anwar melantik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebagai TPM adalah sesuatu yang janggal dan tidak memungkinkan usaha kerajaan membersihkan negara daripada gelaja rasuah dan kleptokrat.
“Ya, betul belum dihukum tetapi orang ini sudah dihadapkan ke mahkamah, kalau kita ada orang sebegini jadi pemimpin, akan rosaklah negara kita.
“Saya berpendapat, kalau kita nak bersihkan negara kita, tidak boleh pilih orang yang semua orang berpendapat dia seorang yang melakukan jenayah.
“Jadi saya hairan bagaimana Anwar boleh pilih orang ini walaupun dia pemimpin parti tetapi dia menghadapi tuduhan di mahkamah. Ya betul tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.
“Tetapi kalau dia dihadapkan dengan satu-satu kes itu sudah menunjukkan dia (Ahmad Zahid) tidak layak jadi pemimpin,” katanya hari ini lapor Berita Harian.
Beliau ditemui selepas melancarkan buku 40 tahun Dasar Pandang ke Timur di ibu negara.
Beliau mengulas penubuhan Kerajaan Perpaduan membabitkan kerjasama di antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan beberapa Ahli Parlimen lain.
Ahmad Zahid dilantik sebagai TPM oleh Anwar ketika mengumumkan barisan 28 anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan pada 2 Disember lalu.
Mahkamah Tinggi pada 24 Januari lalu, memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie bagi semua tuduhan terhadap Ahmad Zahid yang juga pengasas yayasan terbabit.
Sequerah dalam penghakimannya berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas membuat penilaian maksimum terhadap bukti yang dikemukakan pendakwaan.
Prosiding bela diri Ahmad Zahid yang berjalan sehingga 2 November lalu, ditangguhkan hingga disambung semula pada Januari depan.
Sequerah membenarkan penangguhan prosiding dan menetapkan perbicaraan didengar selama 21 hari iaitu pada 16 hingga 19 Januari, 30 dan 31 Januari, 7 hingga 9 Februari, 27 hingga 30 Mac, 10 hingga 13 April dan 15 hingga 18 Mei 2023.
Leave a Reply