Pas Terengganu sedia jika PRN diadakan lebih awal

PAS Terengganu tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan lebih awal sebagaimana saranan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Menurut Pengarah Pilihan Raya Pas Negeri Terengganu, Ariffin Deraman, ini kerana momentum dan sokongan ditunjukkan rakyat masih panas selepas Perikatan Nasional (PN) Terengganu meraih kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

“Keputusan PRN itu juga bergantung pada pucuk pimpinan PN. PRN bagi tiga negeri di bawah pentadbiran PN iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah dijangka dilaksanakan secara serentak.

“Kita tunggu masa keputusan yang dibuat oleh pimpinan kita. Kalau bulan Jun pun, tak lama sebenarnya.

“Persediaan Pilihan Raya tak ada masalah, jentera sudah bersedia. Orang kata masih panas lagi. Dengan isu BN yang masuk bersama PH dalam kerajaan campuran bukan kerajaan perpaduan sebenarnya kerajaan campuran lebih memudahkan kita,” katanya, lapor Astro Awani.

Beliau ditemui selepas majlis penutup dan penyampaian hadiah ASEAN Monsoon Casting Tournament 2022 di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, menyarankan tiga negeri diterajui PN iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu mengadakan PRN selepas PRU15 di Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman selesai.

Menurut beliau ia berdasarkan sokongan diberikan pengundi terhadap PN pada PRU15.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *