Lantik Zahid: lmej negara tercalar, terus dipersoal

IMEJ Malaysia bukan sahaja tercalar tetapi terus dipersoalkan apabila keputusan melantik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berdepan pertuduhan rasuah menjadi berita utama media-media antarabangsa.

Situasi itu jelas berbeza ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri minggu lalu, apabila media antarabangsa melaporkan ucapan tahniah daripada pemimpin-pemimpin negara luar.

Agensi berita Bloomberg, menjadikan tajuk ‘PM Malaysia pilih pemimpin terpalit rasuah sebagai salah seorang timbalannya’.

Agensi berita berkenaan menyifatkan pelantikan itu sebagai usaha Anwar mengukuhkan cengkaman dalam gabungan kerajaan yang rapuh.

Agensi berita South China Morning Post pula menggunakan tajuk berita ‘PM Malaysia Anwar pegang jawatan Menteri Kewangan, namakan Ahmad Zahid Hamidi yang dikelilingi isu rasuah sebagai TPM’.

Seterusnya agensi tersebut menyifatkan pelantikan tersebut sebagai petanda kompromi telah berjaya dicapai bagi memastikan pentadbiran rapuh itu kekal, lapor SatuBerita.

Sementara itu agensi berita BBC melaporkan pelantikan Ahmad Zahid sebagai paling kontroversi kerana terdapat banyak bantahan ekoran kes mahkamah.

The Washington Post pula menyiarkan keputusan Anwar melantik Zahid sebagai bertentangan dengan perjuangan anti-rasuah yang diangkat selama ini.

Paparan itu sudah tentu tidak baik untuk negara yang sedang berusaha memulihkan prestasi ekonomi khususnya dalam menarik pelaburan asing.

Kerajaan dan iklim politik yang stabil, selain paling utama ialah kerajaan yang bersih, berintergriti dan cekap antara pertimbangan utama pelabur asing.

Persepsi yang tidak baik terhadap Malaysia mungkin merencatkan minat pelabur asing untuk melabur di dalam negara.

Dari sudut lain, ia tentunya memberikan gambaran yang tidak baik untuk rakyat dan negara di mata dunia.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *