Oleh YUSFARIZAL YUSOFF
Siri menjawab naratif
NARATIF 2
BN dan PH terpaksa bergabung kerana titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku. PN tolak bergabung dengan PH mengingkar titah DYMM Tuanku. PN derhaka!
Komen:
Punya dah tiada hujah, ‘play victim‘, kemudian berselindung di sebalik titah.
Jawapan:
- Hujah begini sebenarnya mengentengkan kebijaksanaan DYMM Tuanku. Tuanku atas kebijaksanaan baginda dan kefahaman jelas baginda mengenai peruntukan Perlembagaan memberi cadangan gabungan PH dan PN awalnya dalam perjumpaan pada jam 4:30 petang 22 November 2022. Bukan arahan.
Ia juga dibuat secara tertutup ketika perjumpaan, bukan titah bertulis. Maka cadangan itu boleh dipersetujui ataupun tidak. PN menggunakan hak demokrasi untuk tidak bersetuju atas alasan yang jelas. Tambahan pula ketika itu, PN telah mempersembah 115 SD yang menunjukkan ada majoriti untuk diteliti baginda sehari sebelumnya.
- PN tidak ingkar titah kerana mengikut setiap arahan DYMM Tuanku. Tiada parti yang mengemukakan SD majoriti setakat jam 2 petang 21 November 2022 sebagaimana dititahkan (Titah 20 November 20221) selain PN. Parti lain memohon penangguhan dan dibenarkan (Titah 21 November 2022). Kalau mereka katakan tidak setuju dengan cadangan itu langgar titah, tidak ikut ‘deadline‘ lebih lagi langgar titah.
- DYMM Tuanku menitahkan 30 MP BN datang mengadap secara individu pada 23 November 2022 (Titah 22 November 2022). Yang datangnya hanya 3. Tidak langgar titah?
- Selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) tidak bersetuju dengan cadangan gabungan PH dan PN pada 22 November 2022, DYMM Tuanku tidak lagi menyebut Kerajaan Perpaduan sebagaimana dicadangkan kepada PN dan PH secara bersemuka. (Lihat titah bertulis bertarikh 23 November 2022 dan 24 November 2022). DYMM Tuanku atas kebijaksanaan beliau menyerahkan kepada parti-parti untuk memaklumkan siapa yang ada majoriti.
- Pada 22 November 2022 juga, Dewan Tertinggi BN memutuskan tidak menyokong mana-mana parti, PH atau PN. Mereka memilih berkecuali sebagai pembangkang. Namun ia hanya menjadikan ‘dead-lock‘. Atas kebijaksanaan DYMM Tuanku memanggil menghadap, BN perlu buat pilihan. BN dengan rela hati memilih PH, bukan dipaksa (setelah berunding dengan PH dan PN).
- DYMM Tuanku setelah mendengar titah pandangan MRR, berkenan melantik Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sebagai Perdana Menteri ke-10 yang pada hemat baginda mempunyai sokongan majoriti.
- Dua isu yang perlu benar-benar jelas ialah:-
a. PN tidak pernah ingkar titah DYMM Tuanku. Yang mungkin ingkar nampaknya orang lain.
b. DYMM Tuanku tidak pernah bertitah mengarahkan supaya BN bergabung dengan PH. Bahkan DYMM Tuanku memanggil 30 MP BN untuk mendengar sendiri pendirian mereka, tetapi yang datangnya 3. Tiada paksaan kerana DYMM Tuanku atas kebijaksaan baginda teramat arif bahawa bukanlah perlu bagi baginda mencemar duli untuk mencampuri urusan siapa perlu gabung dengan siapa. BN boleh saja bergabung dengan PN (sebagaimana sokongan awal 10 MP BN), tetapi mereka memilih PH atas sebab-sebab yang sekarang ini semakin jelas. Rundingan yang dibuat BN dengan PH dan PN juga jelas menunjukkan DYMM Tuanku tidak pernah bertitah mengarah sesiapa untuk bergabung.
Tapi sekarang mereka kata mereka tiada pilihan, kononnya terpaksa mengikut titah DYMM Tuanku.
Oh seperkara lagi, kerajaan ini bukan Kerajaan Perpaduan, kerana sebagaimana dikatakan oleh ramai pakar sains politik, Kerajaan Perpaduan pada konsep asalnya ialah tiada pembangkang. Maka, kerajaan ini adalah Kerajaan Campuran diketuai PH.
Sekali lagi, naratif ‘spin‘ sebegini tidak boleh dibenarkan.
Penulis adalah Peguam Bela dan Peguam Cara
WartaRakyat tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis yang disiarkan dalam entri media sosial beliau dan tidak semestinya menggambarkan pendirian WartaRakyat
Leave a Reply