Barisan Kabinet Anwar tidak bela rakyat – Shahidan

Oleh BADLISHAH MAT

BARISAN menteri Kabinet dalam Kerajaan Perpaduan yang dipilih Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan bertujuan untuk membela rakyat.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pelantikan dibuat Anwar hanya untuk mengisi permintaan dan permohonan pihak tertentu.

“Pada pandangan saya, Kabinet ini ada dua perkara yang saya anggap terjadi kerana beberapa sebab, pertamanya kurang kepakaran (pemimpin).

“Itu sebab mereka terpaksa lantik orang kalah jadi menteri. Padahal orang kalah ini sudah tidak dapat kepercayaan rakyat, tidak wajar memimpin lagi.

“(Selain itu) Kabinet ini adalah berasakan permintaan. Bukan Kabinet untuk membela rakyat. Walau bagaimanapun mereka telah dilantik, kita reda,” katanya ketika menyertai Flash Mob Perikatan Nasional di Lunas, Kulim.

Shahidan berkata, langkah melantik Senator untuk menerajui kementerian menampakkan kerajaan kurang berkemahiran.

“Sepatutnya ambil orang yang berpengalaman. Saya tengok kawan-kawan dalam kalangan UMNO kesian mereka. Mereka dah sokong (tapi) tak diberi pengiktirafan. Demikian juga orang-orang yang ada kepakaran dalam DAP patut dilantik tapi mereka tak lantik,” katanya.

Sementara itu, Shahidan turut menyindir dengan meminta Pakatan Harapan (PH) menukar lagu tema bertajuk ‘Aduh Malaysia’ selepas mereka bekerjasama dengan BN.

“Lagu ‘mereka semua penyamun’ itu saya ingat PH kena tukar. Sebab lagu itu ditujukan kepada UMNO dan oleh kerana UMNO telah berkahwin dengan PH. Jadi lagu itu kena tukarlah.

“Macam (Datuk Seri) Ismail Sabri Yaakob ada lagu Keluarga Malaysia. Saya ingat lagu-lagu daripada (filem) Keluarga 69 itu sesuai diambil untuk jadi panduan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *