Tan Sri Rafidah Aziz

PM ‘tangkap muat’ lantik Tengku Zafrul dalam Kabinet – Rafidah

BEKAS Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz mempersoalkan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam Jemaah Menteri.

Beliau berkata, kredibiliti Jemaah Menteri yang baru dibentuk akan terjejas dengan pelantikan Tengku Zafrul sebagai senator semata-mata untuk menjadikannya menteri.

Jelasnya, ini kerana masih ramai orang lain yang lebih sesuai untuk jawatan tersebut.

“Kelihatan seperti (Anwar) hanya tangkap muat dengan melantik seseorang yang ditolak pengundi. Mana kredibilitinya apabila orang yang kalah dilantik (menjadi menteri)?” katanya dalam kenyataan.

Tengku Zafrul sebelum ini berkhidmat sebagai menteri kewangan dalam kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Semalam, pembantu Tun Dr. Mahathir Mohamad, Adam Mukhriz Muhayeedin, menyerlahkan ironi dalam keputusan Anwar melantik calon pilihan raya yang kalah, iaitu Tengku Zafrul, ke dalam Jemaah Menteri, dan bukan Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly, yang pernah menjadi Menteri Kesihatan, mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Selangor untuk Pakatan Harapan (PH) selepas mengalahkan Zafrul yang bertanding atas tiket BN, dan dua calon lain.

Rafidah turut mempersoalkan pelantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai salah seorang Timbalan Perdana Menteri.

“Mengapa perlu lantik seseorang yang sedang dibicarakan atas (tuduhan) rasuah? Jika dia didapati bersalah, kena cari pengganti pula,” katanya, lapor FMT.

Zahid didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram.

Rafidah sebelum ini meminta Anwar tidak melantik ahli politik yang berdepan perbicaraan dalam Jemaah Menteri. Pelantikan individu sebegini, katanya, akan mencemarkan imej negara.

Pelantikan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri mencetuskan reaksi negatif daripada kumpulan masyarakat sivil seperti Bersih, ketua pembangkang, Muhyiddin dan orang awam.

Rafidah menyifatkan kedua-dua pelantikan itu sebagai ‘mengejutkan dan tidak perlu’ dan mendoakan kejayaan Anwar dalam mentadbir negara.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *