Oleh RIZQI ZABIDI
RAKYAT di Padang Serai dan Tioman perlu memberi kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN) sebagai salah satu usaha untuk membetulkan politik di negara ini yang kini sedang bergerak dalam keadaan ‘songsang’.
Menyifatkan kerajaan Persekutuan yang wujud kini sebagai kerajaan luar tabii, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerajaan yang terbentuk itu adalah bertentangan dengan aspirasi dan kehendak rakyat Malaysia.
Katanya, tsunami yang melanda dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 sepatutnya difahami sebagai tsunami Melayu yang berkehendakkan kepada kerajaan prihatin, bersih dan stabil.
“Bukan kerajaan kleptokrasi berpakat dengan cauvinis untuk mengawal tingkah laku kita semua. Ini kerajaan luar tabii.
“Tabii ini tabiat, kebiasaan atau kehendak. Apa yang berlaku sekarang ini adalah di luar tabii dan bukan itu yang rakyat hendak,” katanya dalam Ceramah Jelajah Perikatan Nasional (PN) di Taman Mutiara, Padang Serai malam tadi.
Katanya, keadaan itu kemudiannya ditambah dengan satu lagi perkara yang ‘sangat’ luar tabii iaitu melantik orang yang ada kes mahkamah menjadi pemimpin negara.
“Tiba-tiba selepas lapan hari, benda yang paling kita tak mahu berlaku dalam negara ini iaitu melantik seseorang yang ada kes mahkamah sebegitu banyak menjadi Timbalan Perdana Menteri. Adakah satu tabiat yang betul melantik orang yang ada kes mahkamah menjadi pemimpin negara ini?
“Ini tak betul dan tak boleh diterima. Jadi pengundi Padang Serai dan Tioman kena hantar satu mesej untuk segarkan kefahaman semua orang terutamanya pemimpin negara bahawa rakyat tak mahu semua yang terjadi sekarang ini.
“Mujur PN ini orang baik tetapi kalau perangai kami macam ‘depa’, jenuh makan ‘gas’ kita di tengah jalan Kuala Lumpur. Tetapi kita tetap sabar, tenang dan masuk PRU Padang Serai serta Tioman dengan semangat demokrasi walaupun hati kita remuk,” katanya.
Sanusi menambah, ketika ini tindakan untuk menormalisasikan kerajaan luar tabii tersebut sedang dilaksanakan melalui beberapa kaedah.
“Proses normalisasi cauvinis dalam PH yang bergabung dengan kleptokrasi dalam BN dinormalisasikan seperti berlaku di negara-negara Arab. UAE, Bahrain, Jordan dan akan diikuti Arab Saudi serta Morocco telah menandatangani perjanjian dengan Israel dinamakan perjanjian Abraham.
“Israel yang kejam itu bagi sebahagian negara Arab yang sudah menandatangani perjanjian tersebut tidak lagi zalim. Telah diakui kewujudan Israel oleh sebahagian negara Arab dengan proses ini dipanggil normalisasi dan proses itu sedang dilaksanakan dalam politik tanah air kita apabila bergabung kerajaan luar tabii dibentuk PKR, DAP, Amanah, BN, UMNO, MCA dan MIC,” katanya.
Beliau turut menegaskan, tindakan normalisasi itu dibuat dibuat bersekali dengan proses memburukkan lawan agar mereka nampak normal dan baik serta tidak bertentangan dengan tabii.
“Wajah hitam akan ditimpakan ke atas kita semua dari PN. Kita ini dikatakan perkauman, mempergunakan agama, memecah belah, tak dapat terima kenyataan, melanggar titah Agong dan macam-macam lagi akan mereka longgokkan kepada kita.
“Tuan-tuan tunggulah sehari dua ini. Untuk memastikan proses normalisasi serta mengambing hitamkan kita ini dapat disedari rakyat Malaysia, penduduk di Padang Serai dan Tioman mesti mengundi PN,” katanya.
Leave a Reply