PAS PRN JOhor

“Tahniah TPM, Kabinet terbaik”, reaksi sinis Ahmad Fadhli

“Tahniah Datuk Seri Timbalan Perdana Menteri. Kabinet terbaik”. Itu reaksi sinis Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari susulan pengumuman 28 Jemaah Menteri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi catatan Facebook beliau malam ini, beliau merakamkan ucapan tahniah itu yang dipercayai ditujukan kepada Timbalan Perdana Menteri (TPM) I yang baru dilantik iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ini adalah kerana Zahid menjawat jawatan itu ketika masih menjalani perbicaraan melibatkan 47 pendakwaan rasuah.

“Tahniah YAB Datuk Seri Timbalan Perdana Menteri. Kabinet terbaik!,” tulisnya ringkas.

Pelantikan Zahid juga dilihat mengetepikan pandangan beberapa pihak termasuk Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang meminta Anwar tidak melantik mana-mana individu yang mempunyai kes mahkamah sebagai anggota Kabinet hanya disebabkan ingin menjaga kestabilan politik Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya.

Pengerusi Bersih, Thomas Fann berkata, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu bakal menghantar mesej jelas kepada dunia bahawa korupsi boleh ditoleransi jika ‘maslahat lebih besar’ dapat dicapai melalui pelantikan mereka yang terpalit dengan kes rasuah.

Barisan Kabinet yang diumumkan Anwar mencatatkan sejarah tersendiri apabila menyaksikan buat pertama kali Malaysia mempunyai dua Timbalan Perdana Menteri seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

Zahid yang juga TPM I turut memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah manakala TPM II pula akan dipegang Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *