Oleh ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR
PILIHAN Raya Umum Parlimen ke-15 (PRU-15) telah pun selesai. Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun diangkat dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 mewakili Pakatan Harapan dan beberapa parti lain yang bergabung dengannya.
Keabsahan majoriti yang dimiliki Perdana Menteri ke-10 itu walau bagaimanapun akan ditentukan oleh Dewan Rakyat apabila ia bersidang bulan Disember nanti.
Pas melalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agungnya telah pun mengucap tahniah kepada Perdana Menteri ke-10 dengan harapan agar beliau dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik selain mengutamakan konsep federalisma.
Namun suka ataupun tidak keputusan akhirnya berdasarkan satu kajian yang dibuat sebuah portal berita, Perdana Menteri ke-10 dan gabungan parti di belakangnya sesungguhnya hanya memperolehi 44 peratus undi dari kaum Melayu, sedangkan Perikatan Nasional yang turut diwakili Pas berjaya memperolehi 54 peratus ataupun majoriti sokongan pengundi Melayu seluruh negara.
PH memperolehi 11 peratus manakala BN 33 peratus. Ini bermakna buat pertama kali dalam sejarah negara, BN khasnya UMNO tidak lagi mewakili suara umat Melayu Islam dalam negara sebaliknya majoriti suara itu kini diwakili Perikatan Nasional (PN) dan Pas.
Berpuluh tahun sejak Merdeka, Pas dan UMNO bertarung untuk mewakili suara kaum majoriti dalam negara ini. Seringkali UMNOlah yang menang. Dan pada PRU ke-15 baru-baru ini tradisi UMNO itu gagal dipertahankan apabila gabungan Pas dan Bersatu berjaya menguasainya.
Lantas Perdana Menteri ke-10 dan kerajaan barunya perlu sedar hakikat ini, kerana kemenangan PN dengan 72 kerusi Parlimen itu sesungguhnya mewakili majoriti suara umat Melayu Islam dalam negara yang rata-rata keluar mengundi calon-calon PN dan yang paling ketara adalah di kalangan anak-anak muda Melayu pengundi 18 tahun ke atas.
Ternyata pengundi Melayu tawar hati untuk menyokong PH kerana hilang keyakinan pada DAP yang mendominasi pakatan berkenaan, dan dalam waktu yang sama mereka menuntut agar pimpinan negara terdiri dari kalangan wakil-wakil yang bersih dan mampu mengangkat maruah dan harga diri ummah serta membangunkan negara. Pilihan mereka hanya PN.
Kiranya penguasaan ini mampu dipertahankan apatah lagi dipertingkatkan oleh PN, tidak mustahil PN nanti akan mampu membawa perubahan besar dalam Pilihan Raya Umum Negeri ke-15 bagi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang yang dijangka diadakan tahun 2023 nanti.
Oleh yang demikian walaupun PN tidak menguasai Kerajaan Persekutuan dan Pas tidak lagi diwakili di Putrajaya, namun pencapaian gabungan ini dalam PRU ke-15 lalu jangan sesekali dipandang kecil.
Sudah pasti rakyat jelata mengharapkan 72 wakil rakyat PN yang didominasi Pas akan memainkan peranan sebagai blok pembangkang yang efektif dan konstruktif. Mereka perlu menjadi peninjau memastikan semak dan imbang agar kerajaan Perdana Menteri ke-10 ini tidak terjerumus dalam kancah kemungkaran yang hanya akan merugikan rakyat dan negara.
Bagi Pas PRU ke-15 ini cukup bersejarah dan bermakna. Pencapaian terbaik Pas dalam PRU sebelum ini adalah pada PRU ke-10 tahun 1999, iaitu 23 tahun lalu. Pas ketika itu di bawah kepimpinan Allahyarham Ustaz Fadzil Nor telah berjaya memenangi 27 kerusi Dewan Rakyat dan menguasai Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu.
Hari ini di bawah kepimpinan Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Pas mencipta sejarah memenangi 43 kerusi Dewan Rakyat dan turut menguasai Kerajaan Negeri Perlis selain Kelantan, Terengganu dan Kedah yang dikuasai sebelumnya.
Pada PRU ke-14 tahun 2018 Pas menang 18 kerusi. Dengan 43 kerusi kali ini bermakna prestasi peningkatan PAS berbanding PRU 2018 adalah sebanyak rekod 139 peratus. Ini berlaku sedangkan parti-parti lain mencatatkan kemerosotan.
PKR contohnya dari 47 kerusi, kini cuma menang 31. DAP dari 42 kini cuma 40 dan PAN pula dari 11 kerusi pada PRU ke-14 kini cuma menang 8. BN sendiri dari gergasi politik yang besar kini cuma berpuashati dengan 30 kerusi, iaitu 26 Umno, 2 MCA, 1 MIC dan 1 PBRS.
Dengan 43 kerusi Pas merupakan parti yang paling besar di Dewan Rakyat. Kali ini selain memenangi kerusi di negeri-negeri tradisinya seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah Pas turut menang di Perak, Perlis, Pulau Pinang, Pahang, Selangor dan Melaka.
Di Perak PAS menang di Parit Buntar, Bagan Serai, Pasir Salak dan Parit, di Perlis PAS menang buat pertama kali di Padang Besar, di Pulau Pinang selain menang di Permatang Pauh Pas turut menang di Kepala Batas. Di Pahang pula selain menang kembali di Temerloh, Pas turut menang di Jerantut, Kuantan, Maran dan Kuala Krau.
Di Selangor Pas menang di kawasan yang tidak pernah dimenangi sebelumnya iaitu di Kuala Langat, Kapar dan Hulu Selangor. Di Melaka rekod tercipta apabila Pas menang dua Parlimen iaitu di Tangga Batu dan di Jasin.
Kombinasi wakil-wakil rakyat Pas di Parlimen kali ini juga cukup pelbagai. Selain wakil dari golongan ulamak Pas kali ini turut diwakili 5 wakil Muslimat, beberapa doktor perubatan, peguam, jurutera dan profesional yang lain.
Ramai menjangka dengan kekuatan ini Pas akan diberi perhatian oleh rakyat dan kiranya wakil-wakil rakyat Pas di Parlimen ini dapat melaksanakan tugas mereka dengan baik, berhujah dengan matang dan berfakta,
PAS akan terus meningkat prestasinya pada PRU mendatang dan tidak mustahil akan terbit sebagai parti mewakili suara tunggal umat Melayu Islam dalam negara.
Inilah masanya buat Pas membuktikan kepada para pengundinya khasnya kepada para pengundi muda selain mereka yang yakin kepada perjuangan Islam yang Pas dukung bahawa ia punya kekuatan dan kemampuan untuk memberikan kepimpinan yang terbaik buat rakyat Malaysia.
Ini bukan masanya untuk kecewa atau berkecil-hati. Kita mungkin belum direzekikan untuk duduk di Putrajaya sebagaimana sebelumnya tetapi kitalah satu-satunya parti Melayu Islam yang cukup komited dan istiqamah.
Dengan pencapaian besar seumpama ini, ia sepatutnya menjadi pemangkin kepada kemenangan Pas yang lebih besar dalam PRN awal tahun hadapan atau PRK ke-16 nanti.
Tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat menjayakan kemenangan besar Pas ini khasnya setiap lapisan kepimpinan dan aktivis parti terutama jentera pilihan raya Pas di pelbagai peringkat.
Suara keramat umat Melayu Islam di tanah air kini beralih tangan ke PAS dan PN dengan izin Allah S.W.T. Jagalah ia baik-baik jangan lagi khianati atau cemarinya sebagaimana berlaku sebelum ini. Buktikan Islam sebenar dan sesungguhnya adalah penyelesai kepada permasalahan negara dan ummah.
Penulis adalah Setiausaha Perhubungan Pas Selangor
Leave a Reply