PEMBANTU Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz yang kalah dalam pilihan raya umum ke-15 dalam Jemaah Menterinya, tetapi bukannya Dzulkefly Ahmad.
Dzulkefly yang juga bekas menteri kesihatan, mempertahankan Parlimen Kuala Selangor untuk Pakatan Harapan ketika berdepan Tengku Zafrul dari Barisan Nasional (BN) dan dua lagi calon.
Bagaimanapun, Anwar mengumumkan Tengku Zafrul, yang juga bekas menteri kewangan, menganggotai Jemaah Menterinya.
Tengku Zafrul akan dilantik sebagai senator sebelum menjadi menteri.
“Kesian Dzulkefly, beliau menang di Kuala Selangor, tetapi tidak dilantik sebagai menteri. Calon yang beliau kalahkan pula dilantik sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri,” kata Adam Mukhriz Mohd Muhayeedin di Twitter.
Setiausaha akhbar Mahathir itu turut mempersoalkan keputusan Anwar memegang portfolio kewangan.
“Apa jadi dengan prinsip perdana menteri tidak boleh memegang portfolio kewangan atau portfolio lain?” soalnya, lapor Free Malaysia Today.
Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya umum 2018 berjanji perdana menteri tidak akan memegang jawatan menteri kewangan secara serentak.
Jemaah Menteri Anwar terdiri daripada 28 menteri dan dua timbalan perdana menteri, iaitu Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof.
Leave a Reply