Terengganu bakal menjadi kubu kuat PN?

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

BAHANG Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) masih lagi terasa walaupun rakyat telah selesai menunaikan tanggungjawab memilih calon pemimpin yang bakal berkhidmat di kawasan masing-masing.

Kecuali enam negeri (Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan), keputusan PRU15 kali ini amat mengejutkan sehingga disifatkan sebagai ledakan gelombang baharu dalam proses sistem demokrasi di Malaysia.

Bagi kebanyakan masyarakat di Terengganu, pilihan raya umum melibatkan lapan kerusi Parlimen pada kali ini dilihat sebagai satu kejutan baharu.

Ini kerana, mereka tidak pernah menjangkakan Perikatan Nasional (PN) diwakili tujuh calon parti Pas dan seorang Bersatu berjaya memenangi kesemua kerusi di negeri tersebut dengan majoriti agak besar.

Ini termasuklah dua kerusi yang selama ini menjadi antara kubu kuat Barisan Nasional (BN), iaitu Besut dan Hulu Terengganu.

Kemenangan bersejarah PN di Terengganu, ramai berpendapat gabungan itu tiada masalah meraih kemenangan besar pada PRN yang bakal diadakan pada tahun hadapan.

Dengan kemenangan bersejarah itu, ramai berpendapat PN tiada masalah untuk meraih kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan pada tahun hadapan.

Malah, penganalisis dan pemerhati politik di Terengganu turut meramalkan bahawa PN akan terus mara manakala BN pula akan tersungkur dan tidak lagi menjadi sebuah parti dominan atau pilihan rakyat.

Ada yang mendakwa pada PRU15 lalu, BN bukan sahaja ditolak oleh pengundi atas pagar dan anak muda berusia 18 tahun, sebaliknya turut ‘diajar’ oleh ahli dan penyokong parti itu sendiri.

Tindakan itu diambil selepas mereka dikatakan berasa ‘muak’ dan kecewa dengan keputusan dibuat oleh pucuk pimpinan parti sendiri.

Antaranya termasuklah daripada segi pemilihan calon, muafakat bersama gabungan politik serta tidak hirau suara akar umbi.

Penganalisis dan pemerhati politik di Terengganu meramalkan PN akan terus mara manakala BN pula akan tersungkur dan tidak lagi menjadi sebuah parti dominan atau pilihan rakyat.

Selain itu, tindakan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang membuat keputusan mencalonkan bekas ahli Pas, Mohd. Khairuddin Aman Razali di Parlimen Kuala Nerus dengan mengetepikan cadangan UMNO Bahagian tersebut yang sebelum itu mencadangkan nama Apli Yusof dan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman turut menimbul kemarahan ahli dan penyokong parti.

Ekoran itu, mereka akhirnya dikatakan bertindak memprotes pucuk pimpinan melalui kertas undi.

Malah, topik inilah antara yang paling hangat diperkatakan oleh masyarakat di Terengganu ketika ini walaupun di mana sahaja berada.

Mereka mahukan Ahmad Zahid berundur segera dan digantikan dengan pemimpin yang lebih berintergriti.

Menteri Besar Terengganu dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang antara tonggak kekuatan PN dan Pas di Terengganu

Sekiranya Ahmad Zahid masih kekal mereka sekali lagi dijangka akan membuat protes di atas kertas undi pada PRN nanti.

Sekiranya perkara ini berlaku, bermakna BN tidak lagi memiliki kubu kuat di Terengganu, sebaliknya ia bakal bertukar kepada PN.

Tidak mustahil suatu masa nanti PN akan menjadi gabungan parti pilihan rakyat di Terengganu sekali gus berjaya membentuk kubu kuat di negeri berkenaan.

Justeru, mampukah BN dapat mempertahankan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) miliknya pada PRN nanti?

Atau adakah kerusi Kuala Besut, Jertih, Hulu Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Talemong, Bukit Besi dan Kijal bakal bertukar menjadi milik PN?


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *