Penganggur dera anak tiri didakwa membunuh mangsa

SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kajang hari ini, atas tuduhan membunuh anak tirinya yang berusia 11 tahun pada Isnin minggu lalu.

Tertuduh, C. Stephen Raj, 43, mengangguk tanda faham sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Berita Harian.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang juga seorang penganggur didakwa melakukan menyebabkan kematian anak perempuan tirinya yang berusia 11 tahun itu dengan niat membunuh.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Melur 5, Taman Sri Ramal, di Kajang pukul 11.33 malam pada 21 November lalu.

Tertuduh didakwa melakukan pembunuhan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan membawa hukuman gantung mandatori.

Prosiding pendakwaan hari ini, dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim, manakala tertuduh diwakili peguam bela, M. Manoharan

Majistret Nik Siti Norazlini menetapkan 10 Januari ini untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini, melaporkan mangsa dikejarkan ke Hospital Serdang selepas tidak sedarkan diri pada pukul 11.33 malam Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, dilaporkan berkata mangsa yang dikejarkan ke hospital dengan ambulans disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Hasil pemeriksaan bedah siasat dijalankan doktor pakar, mendapati punca kematian mangsa dipercayai akibat kesan hentakan benda tumpul pada bahagian kepala dan perut yang menyebabkan usus pecah.

Malah, terdapat juga kesan cedera lebam di bahagian punggung, buah dada dan lengan tangan mangsa.

Polis kemudian menahan bapa tiri mangsa ketika berada di pekarangan Hospital Serdang.

Mohd. Zaid dilaporkan berkata, suspek mengaku ada memukul mangsa sebelum ini termasuk menggunakan baldi di dalam tandas akibat marah dengan mangsa yang sering membuat masalah di rumah ketika ketiadaan isterinya di rumah.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *