Oleh RIZQI ZABIDI
Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad menafikan penglibatannya dengan penularan satu klip video berlatar belakangkan wajahnya dan mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Israel, yang tular di media sosial sejak kelmarin.
Beliau yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Baling berkata, ada pihak yang yang mempercayai perkara tersebut walaupun jelas bahawa audio dalam klip video tersebut tidak memaparkan kenyataan mahu pun suara darinya.
“Justeru saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang kenyataan seperti mana didakwa dan ditularkan dalam klip video tersebut.
“Saya juga memohon semua pihak supaya menyiasat terlebih dulu sebelum mudah mempercayai sebarang berita mahu pun maklumat,” katanya.
Menerusi klip video berdurasi 38 saat itu, terdapat suara seorang wanita bercakap dalam dialek Baling dengan latar belakangnya diletakkan gambar Hassan selain terdapat perkataan tertulis ‘Betul ke Ustaz Hassan Bin Saad P016 Baling’.
Wanita tersebut memetik nama individu bernama ‘Ustaz Hassan’ yang kononnya bercerita panjang mengenai masalah pelantikan jemaah menteri selain rasa sebaknya kerana kasihankan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang terlalu penat dan letih, tetapi tenang menanti pelantikan itu.
Wanita tersebut mendakwa, Pas sepatutnya sudah boleh memerintah kerana mempunyai 115 kerusi tetapi pelantikan Perdana Menteri memakan masa berhari-hari kerana Anwar berhubung dengan Israel dan terdapat unsur luar serta campur tangan dalam urusan tersebut.
Dia juga menyatakan kononnya Agong terpaksa mengadakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kerana tidak mahu ada pergaduhan mahu pun peperangan dengan Israel.
Disebabkan penularan klip video tersebut, beberapa pihak dilihat mempersoalkan penglibatan Hassan dengan penularan klip video berkenaan.
Leave a Reply