PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memberi jaminan segera bahawa sikap dendam terhadap penjawat awam tidak akan dibiar berleluasa di Putrajaya.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, institusi penting negara itu berada dalam keadaan bahaya jika ada pegawai kanan kerajaan ditukar atau dihentikan atas sebab dendam politik kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Justeru, saya kesal kerana dalam pertemuan pertama Perdana Menteri dengan penjawat awam, beliau gagal memberi jaminan bahawa kerajaan PH tidak akan menjalankan ‘witch hunt’ terhadap pegawai kerajaan.
“Kita semua masih ingat bagaimana Timbalan Presiden PKR (Parti Keadilan Rakyat), Rafizi Ramli dengan bongkak mengugut akan mencari penjawat awam yang menjalankan tugasan mereka.
“Adakah membalas dendam ini masih lagi menjadi ‘polisi senyap’ kerajaan Pakatan Harapan? Apatah lagi sekarang ini heboh dikatakan bahawa Rafizi Ramli melobi hebat untuk menjadi Menteri Kewangan,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.
Menurut beliau, jika sikap dendam tersebut dibawa ke kementerian, maka akan memberi kesan kepada pentadbiran negara.
“Jadi, mungkinkah peruntukan akan dipotong begitu saja jika dia tidak suka kepada individu tertentu?
“Semoga Allah menjaga dan melindungi penjawat awam yang menjalankan tanggungjawab mereka terhadap negara dan agama dengan ikhlas dan berdedikasi,” ujarnya, lapor Sinar Harian.
Pada 17 November lalu, media melaporkan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli memberi amaran kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki selepas agensi itu melakukan serbuan ke atas syarikatnya, Invoke.
Ujarnya, PH akan ‘mencari’ Azam pula berhubung skandal pegangan sahamnya sebelum ini jika gabungan itu memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun, Anwar dalam Perhimpunan bulan di Dataran Perdana Putra di Putrajaya hari ini menegaskan beliau tidak berminat untuk mengorek kisah lalu dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini.
Beliau berkata, perkara lebih penting ketika ini adalah mengembalikan imej perkhidmatan awam yang semakin merosot ke tahap lebih tinggi.
Leave a Reply