REAKSI wajah Zahid Hamidi selepas tertubuhnya kerajaan BN-PH jelas menunjukkan Presiden UMNO itu gembira apabila segala percaturan yang dilakukan sebelum ini berjaya mengangkat cikgunya, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Segala sumpah, segala ucapan ‘No Anwar No DAP’ yang diucapkannya di merata tempat termasuk Perhimpunan Agung UMNO berjaya memperdaya penyokong yang naif untuk mempercayai segala yang dikatakan oleh Zahid itu.

Penafian yang dibuat Zahid mengenai gerakan kerjasama mereka berdua seperti perbualan telefon dan akuan bersumpah sokongan terhadap Anwar berjaya mengaburi mata penyokong BN dan PH bahawa kedua-dua parti itu berprinsip sedangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Tekanan supaya Zahid meletakkan jawatan juga tidak berhasil apabila dia tidak tunduk dengan sebarang desakan daripada pemimpin-pemimpin utama UMNO seperti Khairy Jamaluddin, Annuar Musa dan ketua-ketua UMNO bahagian.

Malah dia berselindung di sebalik Pemilihan UMNO untuk terus kekal berkuasa sedangkan sebelum ini, platform itu ditangguhkan dan menghalang suara ahli UMNO untuk menentukan hala tuju parti itu.

Pada masa kini Zahid mungkin boleh berpuas hati dengan penipuan yang dilakukan, tetapi penyokongnya tidak sesekali lupa apa yang telah berlaku itu.

Ini kerana mereka yang berada di bawah telah menerima kesan langsung akibat sikap lunak UMNO terhadap PH yang merupakan musuh ketat sejak sekian lama.

Penyokong UMNO di peringkat akar umbi dikecam kerana kepimpinan parti menjalinkan kerjasama dengan PH yang dianggotai DAP.

Mereka jadi keliru dengan tindakan pemimpin atasan BN yang memanipulasi sokongan rakyat demi kepentingan sesetengah pihak.

Keadaan politik rakyat bawahan juga menjadi caca-merba kerana musuh yang ditentang sebelum ini kini rakan baik dan sudah ada beberapa kenyataan pemimpin UMNO yang mempertahankan DAP dan membuka ruang kemesraan.

Maklum balas yang Tok Chey terima, penyokong tidak akan percaya lagi apa yang keluar daripada mulut Zahid dan pemimpin kanan yang menyokong tindakan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berbaik dengan PH.

Mereka sudah serik diperdayakan dengan kata-kata pemimpin yang di depan cakap lain, di belakang mengatur strategi mengangkat musuh politik dalam kepimpinan nombor satu negara.

Buat masa ini, apa yang boleh dilakukan ialah mereka tunggu dan lihat apa yang boleh dilakukan oleh Anwar untuk membawa Malaysia ke arah lebih baik seperti mana yang dicanang-canangkan sebelum mendapat jawatan.

Sudah pasti ada tempoh masa yang diberikan dan selepas itu jika tiada apa perubahan dapat dilakukan, rakyat akan membuat bantahan mereka di peti undi pada PRU16.

Di samping itu, reaksi orang ramai yang Tok Chey lihat, rata-ratanya kecewa apabila PN tidak menjadi kerajaan kerana banyak harapan diletakkan kepada Muhyiddin Yassin untuk kembali memerintah.

Rakyat sebenarnya berharap banyak bantuan terus yang diyakini dapat mengurangkan beban kos sara hidup ketika ini seperti pengeluaran KWSP bersasar dan beberapa insentif dalam manifesto PN yang banyak mengutamakan kebajikan rakyat.

Namun, apa boleh buat kerana percaturan politik Zahid dan Anwar telah menaikkan kerajaan BN-PH yang Tok Chey lihat tidak akan mampu terbentuk jika kedua-dua pemimpin itu mengumumkan kerjasama sebelum PRU15.

Bagi Tok Chey, kita lihat sejauh mana ‘pernikahan BN-PH’ mampu bertahan dengan hasil pembentukan yang memperdayakan penyokong bawahan yang mudah dimanipulasi dengan pelbagai cara.

Di sebalik semua itu, rakyat menghormati prinsip yang dikekalkan kepimpinan PN setakat ini yang tidak menyertai kerajaan perpaduan Anwar dan akan bertindak sebagai pembangkang dalam menjadi semak imbang kepada kerajaan ketika ini.

Diharap pada masa sama, PN terus menerima momentum sokongan rakyat dan boleh membentuk kerajaan dengan majoriti dua pertiga pada PRU16.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here