Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
TIGA lelaki maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah van dan kereta di Kilometer 15 Jalan Kluang-Teck Wah Hing, Kluang pada pukul 4 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan dalam keadaan hujan renyai itu melibatkan sebuah kereta Proton Wira dengan sebuah van Placer-X.
“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati van dari arah Renggam menghala ke Kluang manakala kereta pula dari arah bertentangan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta itu disyaki telah hilang kawalan dan masuk laluan van lalu berlanggar.
“Akibat daripada perlanggaran itu, pemandu kereta tersebut, Muhammad Haziq Haiqal Mohd. Faizal, 20 cedera teruk di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Katanya, penumpang belakang kereta berkenaan, Muhammad Khairil Rosli, 17, juga cedera teruk di bahagian kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara seorang penumpang hadapan kereta itu katanya, Ariffudin Khairum Ab. Ghafar, 21, cedera dalaman dan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.
Menurutnya, seorang lagi penumpang belakang kereta berkenaan, Muhd. Haziq Kamarul Azhar, 17, patah kaki kiri serta masih menerima rawatan Zon kuning di HEBHK.
Bahrin berkata, pemandu van pula, Ariffin Othman, 43, cedera di kepala, tangan kiri dan kanan serta kaki sebelah kanan, masih menerima rawatan zon hijau di HEBHK.
“Isterinya iaitu penumpang hadapan van tersebut, Zalinda Mohamad, 42, cedera di mata sebelah kiri serta masih menerima rawatan zon hijau di HEBHK.
“Sementara anaknya yang merupakan penumpang belakang, Mohamad Hazriq Saufi Ariffin, 15, cedera di kaki kanan patah serta masih menerima rawatan zon kuning di HEBHK.
“Begitu juga dengan seorang lagi anak mereka iaitu penumpang belakang van berkenaan, Nur Elsta Soffiya Ariffin, 11, cedera di kaki kanan serta masih menerima rawatan zon hijau di hospital sama,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Shoromi Salih berkata, sebuah jentera Fier Rescue Tedner (FRT) bersama lapan anggota ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 4.29 petang.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati berlaku kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah kereta dan van berkenaan.
“Terdapat empat mangsa yang tersepit dalam kereta tersebut dengan dua daripadanya iaitu di bahagian tempat duduk pemandu dan penumpang kereta disahkan maut di lokasi kejadian oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“PKO bertindak mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan memotong manakala seterusnya empat mangsa cedera diserahkan kepada pihak ambulan KKM.
“Mangsa yang maut di serahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada 5.14 petang tadi,” katanya.
Leave a Reply