Tag: Tiga maut

  • Tiga maut, lima cedera dalam kemalangan

    Tiga maut, lima cedera dalam kemalangan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIGA maut manakala lima lagi cedera dalam nahas melibatkan sebuah kereta dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 13 Jalan Sengkang-Teratai, Tangkak pada pukul 4.30 petang semalam.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintenden Idris Abdul Rahman berkata, kemalangan berkenaan melibatkan kereta jenis Toyota Altis dari arah Bukit Gambir dilanggar oleh kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah Kampung Teratai.

    “Kemalangan berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux memasuki laluan bertentangan dan menyebabkan berlaku perlanggaran dengan Toyota Altis tersebut.

    “Akibat perlanggaran berkenaan, pemandu, penumpang hadapan serta seorang penumpang di bahagian belakang kereta Toyota Altis meninggal dunia di tempat kejadian sementara seorang lagi penumpang cedera parah dan dibawa ke Hospital Tangkak bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Katanya, semua mangsa yang meninggal dunia dihantar ke rumah mayat Hospital Tangkak bagi tujuan bedah siasat.

    Beliau memberitahu, tiga mangsa yang meninggal dunia melibatkan pasangan suami isteri berusia 56 dan 52 tahun dan anak perempuan mereka berusia 17 tahun.

    Selain itu katanya, seorang lagi anak perempuan pasangan berkenaan yang berusia 15 tahun cedera parah dan dihantar ke Hospital Tangkak untuk rawatan lanjut.

    “Kesemua penumpang Toyota Hilux dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar bagi mendapatkan rawatan namun tiada sebarang maklumat terkini mengenai keadaan mereka,” katanya.

    Kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan berkenaan turut dan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut, tambahnya.

    Ujar beliau l, siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Pegawai Bomba Kanan II Jahairi Shukor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan berkenaan melalui talian MERS 999 pada 3.42 petang semalam.

    Katanya, sebaik menerima panggilan berkenaan, satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir dengan kekuatan keseluruhan seramai enam anggota dihantar ke lokasi.

    “Kemalangan melibatkan lapan penumpang, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

  • Tiga maut, empat termasuk anggota tentera parah dalam nahas

    Tiga maut, empat termasuk anggota tentera parah dalam nahas

    TIGA maut termasuk dua beradik dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Lebuh Raya Pan Borneo hala Sri Aman-Engkelili, dekat Kuching, semalam.

    Mangsa Pauline Simba Jua, 34, yang berasal dari Rumah Panjang Mandau Lempaong, Betong, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya Elizabeth Jua, 33, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Engkelili.

    Sementara, pemandu kereta Perodua Viva yang mereka naiki, Carlos Nelson, 22, turut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang kereta terbabit, Ling Unang, 38, pula parah.

    Tiga lagi mangsa termasuk dua anggota tentera yang menaiki kereta Proton Saga yang terbabit dalam kemalangan itu turut parah.

    Anggota tentera terbabit, kedua-duanya berasal dari Perak ialah Mohammad Taufiq Hidayat Othman, 24 dan Mohamad Noor Salam Ab. Jalil, 31, manakala pemandu kereta dinaiki, Aden Fabian, 26, berasal dari Kampung Quop, Kuching.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 6.38 petang.

    “Sembilan anggota termasuk dua anggota EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

    “Setibanya di lokasi, didapati dua kenderaan iaitu Perodua Viva dan Proton Saga bertembung yang membabitkan tujuh mangsa.

    “Dua penumpang bahagian belakang Perodua Viva sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum bomba tiba manakala dua lagi termasuk pemandu tersepit di dalam kenderaan dan disahkan maut di tempat kejadian.

    “Seorang lagi mangsa yang dikejarkan ke Klinik Kesihatan Engkelili pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, semua mangsa yang parah menerima rawatan lanjut di Hospital Sri Aman, lapor Harian Metro.

  • Tiga maut, lima cedera dalam kemalangan kereta bertembung van

    Tiga maut, lima cedera dalam kemalangan kereta bertembung van

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIGA lelaki maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah van dan kereta di Kilometer 15 Jalan Kluang-Teck Wah Hing, Kluang pada pukul 4 petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan dalam keadaan hujan renyai itu melibatkan sebuah kereta Proton Wira dengan sebuah van Placer-X.

    “Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati van dari arah Renggam menghala ke Kluang manakala kereta pula dari arah bertentangan.

    “Apabila sampai di tempat kejadian, kereta itu disyaki telah hilang kawalan dan masuk laluan van lalu berlanggar.

    “Akibat daripada perlanggaran itu, pemandu kereta tersebut, Muhammad Haziq Haiqal Mohd. Faizal, 20 cedera teruk di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

    Pemandu dan semua penumpang yang menaiki van cedera dan dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang

    Katanya, penumpang belakang kereta berkenaan, Muhammad Khairil Rosli, 17, juga cedera teruk di bahagian kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

    Sementara seorang penumpang hadapan kereta itu katanya, Ariffudin Khairum Ab. Ghafar, 21, cedera dalaman dan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

    Menurutnya, seorang lagi penumpang belakang kereta berkenaan, Muhd. Haziq Kamarul Azhar, 17, patah kaki kiri serta masih menerima rawatan Zon kuning di HEBHK.

    Bahrin berkata, pemandu van pula, Ariffin Othman, 43, cedera di kepala, tangan kiri dan kanan serta kaki sebelah kanan, masih menerima rawatan zon hijau di HEBHK.

    “Isterinya iaitu penumpang hadapan van tersebut, Zalinda Mohamad, 42, cedera di mata sebelah kiri serta masih menerima rawatan zon hijau di HEBHK.

    Pemandu dan penumpang belakang kereta Proton Wira maut di tempat kejadian manakala seorang penumpang hadapan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital

    “Sementara anaknya yang merupakan penumpang belakang, Mohamad Hazriq Saufi Ariffin, 15, cedera di kaki kanan patah serta masih menerima rawatan zon kuning di HEBHK.

    “Begitu juga dengan seorang lagi anak mereka iaitu penumpang belakang van berkenaan, Nur Elsta Soffiya Ariffin, 11, cedera di kaki kanan serta masih menerima rawatan zon hijau di hospital sama,” katanya.

    Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Shoromi Salih berkata, sebuah jentera Fier Rescue Tedner (FRT) bersama lapan anggota ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 4.29 petang.

    Anggota bomba membersihkan laluan tersebut dan operasi tamat pada jam 5.14 petang tadi

    “Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati berlaku kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah kereta dan van berkenaan.

    “Terdapat empat mangsa yang tersepit dalam kereta tersebut dengan dua daripadanya iaitu di bahagian tempat duduk pemandu dan penumpang kereta disahkan maut di lokasi kejadian oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

    “PKO bertindak mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan memotong manakala seterusnya empat mangsa cedera diserahkan kepada pihak ambulan KKM.

    “Mangsa yang maut di serahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada 5.14 petang tadi,” katanya.

  • Tiga maut, empat parah kereta bertembung di SKVE

    Tiga maut, empat parah kereta bertembung di SKVE

    Tiga lelaki warga asing maut manakala tiga lagi lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan cedera parah dalam kemalangan di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) sekitar Pulau Carey, malam tadi. 

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan pada 10.42 malam dan apabila tiba di lokasi kemalangan, didapati terdapat sebuah kereta Toyota Unser dan sebuah Honda HR-V bertembung yang mengakibatkan tujuh mangsa tersepit. 

    “Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan pada 12.16 tengah malam dengan tiga daripadanya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata kesemua warga asing itu menaiki Toyota Unser dan didapati mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri manakala lelaki tempatan berkenaan memandu Honda HR-V.

    Katanya tiga mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, seorang lagi dibawa ke Hospital Banting manakala tiga yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Bernama

  • Tiga maut, 200 cedera kereta api langgar lori sampah

    Tiga maut, 200 cedera kereta api langgar lori sampah

    TIGA terkorban selepas sebuah kereta api jarak jauh bertembung dengan sebuah lori sampah di negeri Missouri, Amerika Syarikat (AS), semalam.

    Insiden itu menyebabkan beberapa kecederaan dalam kalangan lebih 200 penumpangnya, kata pegawai tempatan.

    Tujuh daripada lapan gerabak kereta api Amtrak tergelincir di laluan dari Los Angeles ke Chicago apabila ia melanggar lori sampah di persimpangan kereta api berhampiran Mendon, Missouri.

    “Siasatan dalam peringkat awal dan apabila lebih banyak maklumat tersedia, kami akan mengeluarkannya pada masa itu,” kata Justin Dunn, jurucakap Peronda Lebuh Raya Negeri Missouri kepada pemberita pada sidang akhbar.

    Kereta api itu membawa lebih 200 penumpang dan kira-kira sedozen petugas apabila ia melintasi persimpangan di jalan berbatu yang tidak mempunyai lampu mahupun alat kawalan elektronik yang menunjukkan ia adalah sebuah landasan.

    “Terdapat banyak kecederaan dan kami boleh mengesahkan terdapat tiga kematian, dua dalam kereta api dan seorang dalam trak sampah,” kata Dunn, menurut Sinar Harian memetik laporan Agensi.

    Imej yang dikongsi di media sosial menunjukkan gerabak kereta api terdapat di sebelah penumpang di ladang jagung dengan penumpang memanjat tingkap dan pintu.

  • Tiga maut, dua parah dalam kemalangan

    Tiga maut, dua parah dalam kemalangan

    TIGA maut manakala dua individu cedera parah dalam nahas jalan raya di Kilometer 30, Jalan Sandakan Lahad Datu, Lahad Datu, hari ini.

    Kejadian pada pukul 8.50 pagi itu mengakibatkan dua mangsa cedera parah iaitu Abdulllah Mustapha, 50, dan Nurwasa Izzyani Samsudin, 16, manakala tiga mangsa yang meninggal dunia belum diketahui identiti.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.04 pagi.

    “Kemalangan melibatkan kenderaan jenis Land Cruiser yang terdapat seorang mangsa di dalamnya dan empat lagi mangsa dalam kenderaan jenis Perodua Bezza,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurut Sumsoa, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Katanya, seramai tujuh anggota ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 30 kilometer iaitu hampir sejam perjalanan dari BBP Lahad Datu.

  • Tiga maut, dua cedera dalam nahas dua kereta

    Tiga maut, dua cedera dalam nahas dua kereta

    TIGA lelaki maut dan dua lagi cedera selepas terlibat kemalangan membabitkan di Desa Bidara Jalan Muadzam-Gambang, Kuantan, hari ini.

    Kemalangan melibatkan kereta BMW dan Proton jenis Iswara itu dilaporkan menerusi Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 pada pukul 4.28 pagi.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, seramai enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah ke lokasi kejadian dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT).

    “Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, pihak kita mendapati terdapat tiga lelaki dewasa yang menaiki kereta Proton Iswara telah tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat pelanggaran itu.

    “Dua lagi lelaki yang menaiki kereta BMW pula mengalami cedera ringan dan mereka diberi rawatan awal oleh pihak hospital,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Ismail menjelaskan, ketiga-tiga mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan Resque Power Unit.

  • Tiga terkorban dalam gempa di kepulauan Bali

    Tiga terkorban dalam gempa di kepulauan Bali

    TIGA orang terkorban dalam kejadian gempa di pulau Bali, Indonesia awal pagi tadi.

    Dua mangsa dilapor meninggal dunia di Kabupaten Bangli, manakala seorang lagi di Kabupaten Karangasem.

    CNN Indonesia melaporkan, tujuh yang lain dilaporkan mengalami patah tulang, lapor CNN Indonesia.

    Gempa dengan kekuatan 4.8 pada skala Richter pada kedalaman 10 kilometer itu bagaimanapun tidak mencetuskan tsunami.

    Gegaran yang kuat telah menyebabkan penduduk terjaga dari tidur dan bertempiaran lari.

    “Gempa sangat kuat sehingga banyak penduduk terbangun dari tidur mereka dan berlari keluar dari rumah mereka,” kata seorang penduduk.