Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

Penjawat awam Terengganu terima bonus RM900

KERAJAAN Terengganu mengumumkan bayaran bonus sebanyak RM900 yang akan diberikan kepada 14,000 penjawat awam di Terengganu yang layak menerusi Belanjawan 2023.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemberian bonus itu sebagai menghargai jasa dan komitmen mereka yang telah menggerakkan pentadbiran kerajaan.

“Bayaran bonus yang akan mula dibuat pada Januari 2023 itu diharap dapat memberi suntikan semangat untuk golongan berkenaan bekerja dengan lebih gigih pada masa akan datang.

“Sebagai menghargai jasa penjawat awam yang telah menggerakkan pentadbiran kerajaan, saya dengan ini mengumumkan pemberian bonus sebanyak RM900 kepada hampir 14,000 penerima yang layak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini, lapor Sinar Harian.

Ahmad Samsuri sebelum itu mengumumkan Belanjawan Terengganu 2023 bertemakan ‘Memacu Terengganu Berdaya Tahan’ merangkumi RM1.991 bilion bagi perbelanjaan mengurus; RM500 juta perbelanjaan pembangunan dan RM30 juta perbelanjaan bekalan air.

Belanjawan itu menggariskan tiga teras utama sebagai pendekatan pelaksanaan iaitu Menyantuni Rakyat, Memacu Ekonomi dan Melestarikan Pembangunan.

Selain itu, turut diumumkan pemberian pencen rakyat berjumlah RM600 akan diteruskan dengan peruntukan RM15 juta bagi memberi manfaat kepada 25,000 penerima.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *