PERTUBUHAN Royalti Kelantan (R) meminta kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menafikan hak bayaran royalti minyak kepada negeri ini.
Menurut Presidennya, Nazri Deraman, Kelantan mempunyai hak ke atas bayaran tersebut sebagaimana yang termaktub menerusi Perjanjian Royalti 1975 dan Akta Pembangunan Petroleum 1974.
“Besar harapan seluruh rakyat negeri ini tanpa mengira fahaman politik supaya bayaran (royalti) itu tidak lagi dilupakan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Nazri berharap Anwar dapat menggalas tanggungjawab besar sebagai Perdana Menteri untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
“Seluruh rakyat mengimpikan sebuah negara yang maju, bebas rasuah dan makmur di bawah kepimpinan Anwar,” katanya lapor Sinar Harian.
Pada 22 Oktober lalu media melaporkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Kelantan akan mendapat royalti minyak jika gabungan itu diberi mandat untuk mentadbir Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Muhyiddin berkata, bayaran sebanyak lima peratus itu akan diberikan kepada Kelantan seperti yang terkandung dalam perjanjian asal berkait dengan bayaran royalti.
Leave a Reply