PAS akan membincangkan tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyertai kerajaan perpaduan bersama rakan komponen Perikatan Nasional (PN) dalam waktu terdekat.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada masa sama berkata, parti itu perlu meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya para pengundi yang telah memberikan undi yang amat memberangsangkan kepada Pas dan PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Mengenai tawaran Perdana Menteri (Anwar) kepada Perikatan Nasional untuk menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinannya, Pas mengucapkan terima kasih seterusnya dalam waktu terdekat akan membincangkan perkara ini dengan rakan-rakan komponen dalam PN.
“(Pada masa sama Pas) turut sama meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya para pengundi yang telah memberikan undi yang amat memberangsangkan kepada Pas dan PN dalam PRU-15 yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, Pas akur dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-10 dan menerima dengan redha serta hati terbuka segala ketentuan Allah yang tentunya mempunyai hikmatnya yang tersendiri.
Katanya, Pas mengucapkan syukur ke hadrat Allah kerana kemelut kepimpinan negara pasca PRU-15 tidak berterusan dan dapat diselesaikan dengan harmoni dan damai.
“Pas menjunjung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah ke hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas kebijaksanaan melaksanakan fungsi Baginda berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang khususnya dalam soal perlantikan Perdana Menteri berdasarkan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan.
“Pas turut mengucapkan tahniah kepada Anwar yang telah diperkenan dan dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.
“Pas yakin beliau akan melaksanakan tanggungjawab dengan baik, adil dan ehsan serta turut mengutamakan konsep federalisma yang wajar kepada seluruh negeri-negeri dan rakyat jelata,” tambahnya.
Leave a Reply