RAKYAT terutamanya penyokong Perikatan Nasional (PN) diminta tidak bersedih susulan kegagalan gabungan itu membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin sebaliknya berkata, api perubahan dan kebangkitan rakyat akan terus disemarakkan PN.
Menurutnya, beliau maklum ramai dalam kalangan sahabat penyokong gabungan itu sedih apabila PN tidak dapat membentuk kerajaan.
“Ini termasuklah penjawat awam yang bersama-sama memberi dokongan kepada kami, khususnya di Putrajaya.
“Usah bersedih sahabat semua. Api perubahan dan kebangkitan rakyat ini akan terus kita semarakkan.
“Perjuangan membina Malaysia yang lebih gemilang berpaksikan prihatin, bersih dan stabil tidak akan terhenti hari ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook malam ini,
Mengulas lanjut, Radzi berkata, setiap yang berlaku ada hikmahnya dan sehubungan itu PN terus bergerak bersama ke depan dan teruskan perjuangan.
Tegas beliau, gelombang sokongan kepada Perikatan Nasional pada PRU-15 yang lalu adalah luar biasa.
“Fakta yang perlu direkodkan, sepertimana disebut oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perikatan Nasional telah mengemukakan Akuan Bersumpah daripada lebih 112 orang Ahli Parlimen yang memberi kepercayaan kepada beliau untuk dilantik sebagai Perdana Menteri pada 21 November 2022.
“Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Kita terus bergerak bersama ke depan dan teruskan perjuangan. Gelombang sokongan kepada Perikatan Nasional pada PRU15 yang lalu adalah luar biasa!,” tambah beliau.
Leave a Reply