KERAJAAN Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terbuka menerima mana-mana parti politik lain untuk menyertainya, ini termasuklah Perikatan Nasional (PN).
Menurut Anwar, kerajaannya kini dianggotai oleh tiga blok politik terbesar iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sawarak (GPS).
“Kerajaan ini adalah Kerajaan Perpaduan, kerajaan ini menetapkan penyertaan setakat ini tiga komponen terbesar Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan GPS.
“Jadi soal kestabilan tidak berbangkit, soalnya apakah Kerajaan Perpaduan yang juga disertai beberapa parti lain termasuk Warisan, MUDA dan Bebas.
“Saya tetap bersedia menerima penyertaan semua yang lain untuk menjadikan negara ini satu, saya masih tunggu kesediaan rakan-rakan termasuk dari Perikatan Nasional,” katanya dalam sidang media malam ini lapor UtusanTV.
Anwar pada masa sama memberi jaminan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri akan diwujudkan bawah Kabinetnya dalam kalangan wakil komponen kerajaan perpaduan.
Beliau berkata, ia akan diisi oleh wakil masing-masing daripada Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Jawatan Timbalan Perdana Menteri itu, Perdana Menteri dari Pakatan Harapan (PH), Timbalan Perdana Menteri dari komponen kuat yang lain, iaitu Barisan Nasional.
“Kepada Sabah dan Sarawak, yang terkuat antara Sabah dan Sarawak adalah GPS,” katanya pada sidang media di sini, malam ini.
Leave a Reply