Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Perdana Menteri yang baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan keabsahan sokongan majoriti yang diterimanya sebagai Perdana Menteri ke-10 di Dewan Rakyat nanti.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, pembuktian itu perlu dilakukan menerusi proses yang telah ditetapkan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat dalam surat bertarikh 22 November.

“Demi keyakinan rakyat akan keabsahsan Anwar sebagai Perdana Menteri, adalah sewajarnya beliau membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Jelas beliau, proses tersebut adalah dengan mengemukakan surat-surat akuan berkanun majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Kalau boleh buktikan keabsahan dia dengan bukti akuan bersumpah (SD) yang mengatakan dia mendapat sejumlah sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Raykat, ‘so’ kita nak tunggulah.

“Kalau dia boleh buktikan pasal dia sebutkan mesti dibuktikan dengan akuan bersumpah, kami Perikatan Nasional ikut arahan, mesti disokong dengan SD, bukan surat dari langit.

“Jadi kami dah nyatakan tadi kalau DatuK Seri Anwar kata bilangan dia cukup yang menyebabkan Agong mengumumkan dia akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri sebentar lagi, kami nak tahulah dulu.

“Bukan kami sahaja, seluruh Malaysia, rakyat yang menunggu-nunggu ni nak tahu betul ke tidak, apa buktinya. Saya fikir penting untuk elakkan keraguan, keresahan dan ketidakpuashatian. Media pun nak tahu kan.

“Rakyat yang di luar sana menunggu-nunggu, tergantung (Parlimen) selama beberapa hari nak tahu, kita nak tahu kenyataan itu (cukup sokongan) berpandukan Perlembagaan atau sebaliknya,” katanya dalam sidang akhbar di Jalan Dutamas 1, Kuala Lumpur hari ini.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu lepas menyaksikan Parlimen tergantung apabila tiada mana-mana gabungan parti politik berjaya mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Pada PRU itu, Pakatan Harapan memperoleh 82 kerusi, PN (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) dan Parti Bangsa Malaysia serta Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau telah pun mempunyai jumlah sokongan daripada 115 ahli Dewan Rakyat berbanding Anwar.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, pihaknya juga telah menghantar SD tersebut kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 21 November lalu.

“Tarikh akhir untuk penyerahan semua dokumen ini ke Istana Negara menerusi e-mel dan aplikasi WhatasApp adalah pada 21 November lalu.

“Susulan itu, PN telah menghantar surat daripada Setiausaha Agung Pas, Pengerusi GPS, Pengerusi GRS dan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM) yang menyatakan kesetujuan untuk bersama dengan PN.

“Pada pukul 10.30 pagi 22 November 2022, Setiausaha Agung PN menghantar satu lagi surat akuan ahli Dewan Rakyat yang memberi kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri menjadikan jumlah ahli parlimen yang menyokong saya adalah seramai 115.

“Demi keyakinan rakyat akan keabsahsan Anwar sebagai perdana menteri, adalah sewajarnya beliau membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here