MCA desak Ahmad Zahid lepas jawatan

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

MCA mahu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) kerana tindakannya menggunakan surat BN kononnya 30 ahli Parlimen BN menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, ini kerana keputusan tersebut bercanggah dan tidak dibuat secara konsensus dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada hari ini.

“Sebaliknya, Dewan Tertinggi BN kekal dengan pendirian berkecuali dan tidak menyokong mana-mana pihak buat masa ini.

“Apa yang berlaku dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi, MCA dan parti-parti komponen BN telah mempersoalkan tindakan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dilihat secara jelas bercanggah dengan apa yang diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN.

“Pada mulanya beliau cuba menafikan mengenai surat tersebut, namun mengakuinya selepas salah seorang anggota Dewan Tertinggi BN mengemukakan bukti sahih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, surat yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong itu secara jelas melanggar ketetapan yang dibuat Dewan Tertinggi BN dan dilihat mempersembahkan maklumat salah kepada Baginda.

Justeru katanya, MCA percaya Ahmad Zahid tidak lagi layak memimpin BN sebagai Pengerusi dan sekali lagi menggesa agar beliau meletakkan jawatan secara terhormat.

Tegasnya, Ahmad Zahid perlu digantikan dengan Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok mat seperti yang disarankan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *