KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan mematahkan cubaan menyeludup 7.14 tan metrik minyak masak peket di Kampung Beris Kubur Besar di Bachok, semalam.

Serbuan menerusi Op Membanteras Ketirisan Barang Kawalan pada pukul 4.40 petang itu dijalankan bersama polis Bachok dan Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor, Tumpat.

Pengarah KPDNHEP Kelantan, Azman Ismail berkata, pasukan menerima maklumat risikan berhubung beberapa kenderaan mencurigakan berada di belakang sebuah premis tanpa nombor di kawasan kampung itu.

“Pasukan membuat pemerhatian melihat beberapa individu memunggah kotak-kotak berwarna coklat disyaki minyak masak ke dalam beberapa kereta.

“Anggota sebuan bertindak menyerbu premis tersebut, namun kumpulan lelaki itu menyedari kehadiran kami lalu bertindak memecut kenderaan dengan laju bagi meloloskan diri, bahkan ada yang lari ke kawasan semak berhampiran,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemui minyak masak bersubsidi sebanyak 7.4 tan metrik dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM17,850 yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

“Pasukan bertindak menyita minyak masak bersubsidi tersebut. Lima kenderaan berpendaftaran tempatan dengan anggaran nilai berjumlah RM 97,450 turut dirampas untuk tujuan siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Pengguna boleh menyalurkan aduan sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti yang mencurigakan dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil KPDNHEP Kelantan,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here