PERTUBUHAN Intelektual Negara (PINTAR) menggesa 26 ahli Parlimen (MP) UMNO supaya memberi sokongan tidak berbelah-bahagi kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kesepuluh.
Presidennya, Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, rakyat mahu melihat kewujudan sebuah kerajaan stabil yang memperjuangkan hak-hak kelompok majoriti Melayu-Islam dan pada masa sama turut mengangkat hak kaum lain di negara ini.
“Melalui keputusan PRU-15 yang ada, pilihan terbaik buat UMNO dan BN adalah memberi sokongan kepada PN untuk bersama-sama membentuk kerajaan.
“Sanjungilah kesediaan parti-parti Sabah dan Sarawak melalui GPS dan GRS yang telah pun memberikan sokongan kepada Muhyiddin untuk membentuk kerajaan secara bersama.
“Oleh itu, sangat wajar bagi 26 orang Ahli-ahli Dewan Rakyat Umno bahkan 30 orang (sekiranya diambil jumlah seluruh MP BN) untuk menyatakan sokongan padu kepada Muhyiddin.
“Memilih untuk bersikap berkecuali sebenarnya adalah bukan pilihan buat masa ini. Rakyat dan negara memerlukan kerajaan dibentuk segera untuk melicinkan pentadbiran dan urusan yang perlu dilakukan,” katanya lapor Harakahdaily.
Untuk rekod, tujuan dan matlamat penubuhan UMNO adalah sebagai sebuah parti yang berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 MP UMNO dan BN menghadap baginda esok, setelah PN dan Pakatan Harapan gagal menunjukkan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan secara sendirian.
Mengulas lanjut, Profesor Dr Mohd Roslan juga berkata rakyat tidak mahu melihat pemimpin parti Melayu terus bertindak sepi, merajuk, tidak mahu bekerjasama dan sebagainya.
“Cukuplah dengan apa yang berlaku selepas PRU-14 lalu yang telah menyebabkan rakyat bangkit untuk mempertahankan hak mereka yang cuba dirobek ketika mana terdapatnya pemimpin yang bercakaran.
“Kami turut merasakan sekiranya para pemimpin ini masih mengambil sikap berkecuali, maka kebimbangan yang dinyatakan oleh Tun Abdul Hamid Mohamad dalam kenyataannya pada 22 November 2022 akan menjadi kenyataan di mana pemimpin-pemimpin UMNO dilihat tidak lagi mempedulikan kepentingan orang Melayu sebaliknya hanya memikirkan kepentingan politik sempit sendiri.
“Sedangkan, dengan menjaga kepentingan orang-orang Melayu inilah merupakan kunci kepada kestabilan negara sejak merdeka,” katanya.
PINTAR juga menggesa ahli Parlimen UMNO konsisten dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO untuk menolak DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mengambil sikap berkecuali di waktu kritikal begini adalah memberi muka kepada kedua-duanya selain merupakan satu sikap tidak bertanggungjawab kepada negara.
“Oleh yang demikian, sekali lagi PINTAR ingin menggesa agar 26 Ahli-ahli Dewan Rakyat Umno untuk memberikan sokongan padu kepada kepada TSMY sebagai Perdana Menteri ke-10 dan turut sama dengan PN untuk membentuk kerajaan yang stabil dan kuat,” katanya.
Leave a Reply