Onn Hafiz Ghazi

MB Johor tegaskan rundingan Zahid dengan PH tidak sah

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu segera meletakkan jawatan dan bukannya berunding dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan.

Menurut Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, tindakan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berunding dengan PH bagi menubuhkan kerajaan campuran sebagai tidak sah, sekiranya benar berlaku.

“Sementara ahli UMNO menunggu tindakan berjiwa besar Ahmad Zahid untuk meletak jawatan dengan kadar yang segera, beliau sebaliknya, kalau betul sebagaimana yang dilaporkan media, sedang sibuk berunding dengan Pakatan Harapan, DAP.

“Ahmad Zahid telah mengetuai kita semua ke medan perang dan disebabkan imejnya, antara punca kekalahan teruk BN.

“Beliau tidak sepatutnya mewakili parti untuk berunding dengan mana-mana pihak tanpa persetujuan parti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Onn Hafiz yang juga Pengarah Operasi Pilihan Raya BN Johor menegaskan, Ahmad Zahid tidak boleh membawa mandat parti tanpa persetujuan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Majlis Tertinggi BN.

“Untuk pengetahuan, Presiden UMNO dan Pengerusi BN tidak boleh membawa mandat parti tanpa persetujuan daripada MKT UMNO dan Majlis Tertinggi BN.

“Oleh itu, sebarang keputusan yang dibuat oleh presiden parti tanpa proses ini adalah dikira tidak sah dari segi perlembagaan parti,” katanya.

Semalam Ahmad Zahid dilaporkan berkata, BN tidak pernah sama sekali berunding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberikan persetujuan berhubung penubuhan kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN).

Sumber dilaporkan media mendedahkan bahawa pimpinan PH dan BN bakal mengadakan pertemuan rahsia di Hotel Seri Pacific, kira-kira jam 10 pagi ini, bagaimanapun perincian pertemuan itu tidak didedahkan.

Dalam pada itu, Onn Hafiz turut mengingatkan keputusan terakhir UMNO adalah tidak akan bekerjasama dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

“Marilah kita terus bermaruah dan berprinsip walaupun diuji dengan kekalahan. Insya-Allah ada hikmahnya.

“Sekali lagi saya memohon dan merayu agar Presiden UMNO meletak jawatan secara terhormat pada kadar yang segera,” katanya. lapor Sinar Harian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *