BEKAS Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique menggesa Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan susulan kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semalam.
Menurut beliau, UMNO tidak mampu dan tidak boleh lagi menanggung segala liabiliti individu dalam parti yang hanya meletakkan kepentingan peribadi.
“Dengan rasa penuh hormat, saya memohon supaya Presiden UMNO, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya segera meletakkan jawatan.
“Berjiwa besarlah Presiden. Bertanggungjawablah atas apa yang telah berlaku.
“Letakkan kepentingan Parti sebagai keutamaan seperti yang telah dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak pada 2018 bila kita kalah. Beliau buat begitu kerana sayangkan Parti UMNO,” katanya menerusi catatan Facebook miliknya hari ini.
Mengulas lanjut, Halimah turut berpesan kepada Ketua UMNO Bahagian agar berani mempertahankan parti dengan iltizam untuk membersihkan dan menguatkan parti itu dengan meletakkan pemimpin yang lebih bertanggungjawab untuk terus memimpin UMNO.
“Kepada semua Ketua-Ketua UMNO Bahagian, jadilah seorang ketua yang ikhlas, bertanggungjawab dan kita sama-sama minta Presiden undur diri dan meletak jawatan demi perjuangan dan masa depan parti.
“Pulangkan perjuangan UMNO kepada niat asal. Perjuangan dan keutamaan parti adalah tertumpu kepada suara akar umbi yang mendambakan sebuah institusi yang berupaya membawa suara dan nasib rakyat terbanyak. Kepada Allah kita berserah,” katanya.
Sementara itu, Halimah menyokong sepenuhnya kenyataan dibuat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang terlebih dahulu menggesa Zahid meletak jawatan.
Jelas beliau, untuk itu, perlukan kepada perubahan besar untuk membersihkan nama UMNO yang suci.
“Jangan cemarkan lagi kesucian Parti UMNO dengan pemikiran yang dangkal tidak berasas dan tidak berprinsip hanya untuk kepentingan peribadi,” katanya.
Leave a Reply