PRU15:Kemenangan PN, BN dijangka 4-4 di Parlimen Terengganu

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

PARTI manakah yang mampu meraih kemenangan bagi kerusi Parlimen di Terengganu akan diketahui malam esok.

Seramai 922,101 pengundi berdaftar di negeri ini akan keluar membuang undi mulai awal pagi esok bagi memilih serta menentukan lapan orang calon parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini.

Malah, pemilihan yang dilakukan pengundi juga bakal membantu pembentukan pemerintahan kerajaan baharu di negara ini sama ada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) atau pun Gerakan Tanah Air (GTA)?

Jawapannya, sudah tentu terletak di tangan rakyat yang akan menentukan kuasa pemutus bagi memilih calon pilihan masing-masing sewaktu keluar membuang undi esok.

Tapi awas, setiap pengundi diharap tidak tersilap membuat pilihan kerana ia boleh menjejaskan kehidupan mereka untuk tempoh lima tahun akan datang.

Oleh itu, setiap pengundi semestinya memilih calon yang benar-benar cakna rakyat, berintergriti, bersih, amanah dan bebas rasuah.

Bagi setiap rakyat, debaran menantikan siapakah yang bakal menang dalam PRU kali ini akan terjawab selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selesai mengadakan penjumlahan undi.

Pengumuman keputusan dijangka diketahui selewat-lewatnya pada tengah malam nanti.

Sehingga ini, persaingan dan perebutan lapan kerusi parlimen di Terengganu dikatakan agak sengit melibatkan PN, BN, PH dan GTA.

Namun, bagi kebanyakan penganalisis dan pemerhati politik di negeri ini mereka menyifatkan persaingan utama hanya tertumpu kepada PN dan BN manakala lain-lain gabungan parti dianggap sebagai pelengkap.

Maka itu, banyak pihak berpendapat dan menjangkakan kedudukan kerusi parlimen di Terengganu adalah sama rata bakal dimiliki PN dan BN.

Ada yang menjangkakan dengan membuat ramalan bahawa keputusan adalah 4-4 atau 5-3 di antara PN dan BN.

PN dijangka tidak berhadapan masalah untuk mengekalkan kemenangan di Marang, Dungun, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Sementara BN pula cuba meletakkan sasaran untuk pertahankan Besut dan Hulu Terengganu selain sasaran di Kemaman dan Setiu.

Ada juga pihak mengatakan salah satu parti mungkin bakal menang 5-3 sama ada PN atau BN.

Antara faktor penentu kedudukan tersebut adalah membabitkan pengundi atas pagar dan pengundi berusia 18 tahun yang buat pertama kali membuang undi.

Bagaimanapun, ianya terserah kepada kemampuan jentera parti ketika menjalankan aktiviti berkempen dengan mendekati para pengundi terbabit.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *