PRU-15: PH angkuh, sombong dengan penjawat awam, kata Azmin

PENTADBIRAN kerajaan ketika pimpinan Pakatan Harapan (PH) didakwa rakus dan zalim menekan pegawai dan anggota kerajaan, kata Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Malah beliau menyifatkan pentadbiran 22 bulan PH sudah cukup membuktikan watak PH yang senantiasa bersikap angkuh dan sombong.

“Kenyataan ugutan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki satu kenyataan yang angkuh dan sombong.

“Ini pun bukan kali pertama, ketika PH membentuk kerajaan dalam mesyuarat Jemaah Menteri saya ada dalam itu, mereka mendesak Perdana Menteri untuk menukar lapan ketua setiausaha.

“Ini tidak pernah berlaku, mengapa PH ingin bergaduh dengan anggota perkhidmatan awam, mereka bukan orang politik. Anggota perkhidmatan melaksanakan dasar yang diputuskan kerajaan, jadi jangan bermusuh dengan anggota perkhidmatan awam, ia tidak ada keperluan.

“Tapi mungkin ini sudah ditakdirkan begitu, jadi anggota perkhidmatan awam boleh melihat sendiri watak PH yang senantiasa bersikap angkuh dan sombong dan cuba mendera anggota perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada majlis rapat umum PN di Putrajaya, malam tadi.

Rafizi pada Ceramah Mega PH di Johor Bahru malam tadi, memberi amaran kepada Azam jika gabungan itu memenangi pilihan raya Sabtu ini susulan syarikatnya, Invoke Solutions Sdn Bhd yang didakwanya diserbu SPRM.

“Esok (hari ini) kita jumpa di mahkamah, lusa (Jumaat) satu hari lagi kempen, Sabtu kita mengundi. Lepas menang pilihan raya kami cari Azam Baki, InsyaAllah,” kata Rafizi.

Sementara itu ditanya mengenai saman bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terhadapnya, Azmin berkata, itu terpulang hak masing-masing.

“Saya hanya mengemukakan beberapa perkara yang menyebabkan PH ditolak oleh rakyat, bukan saja orang Melayu marah tapi semua rakyat Malaysia merasakan tidak ada tempat dan ruang di bawah PH,” katanya, lapor Harian Metro.

Hari ini, Guan Eng mengarahkan peguamnya untuk memulakan prosiding saman fitnah terhadap Azmin kerana membuat kenyataan palsu menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Sabtu ini.

Pengerusi DAP itu berkata, Mohamed Azmin memfitnah dengan menyatakan beliau menggunakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk ‘mengejar’ semua syarikat berkaitan MCA dan bertanggungjawab terhadap cukai baharu menyasarkan perniagaan Cina tertentu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *