TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai individu yang tidak bersyukur.
Ia susulan kenyataan dibuat Anwar sewaktu berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang melabelkan bekas perdana menteri itu sebagai “Bapa PKP”.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak seharusnya dipertikaikan individu terbabit memandangkan ianya dibuat demi kepentingan rakyat.
Menurutnya, PKP lebih banyak mendatangkan kebaikan berbanding kemaslahatan dan ianya tidak wajar dijadikan modal dalam berkempen.
“Anwar Ibrahim patut bersyukur, semua rakyat Malaysia bersyukur. Sembahyang dan sujud bersyukur ataupun berterima kasih, tetapi dia langsung tidak berterima kasih kepada saya.
“Bukan saya tuntut tetapi dia mengata saya. Dikatanya ‘Bapak PKP’. Bayangkan saudara dekat Bukit Treh ini tidak ada PKP, awak semua berkeliaran ke sana ke mari. Tak mati orang Bukit Treh ini? Hari ini kalau datang 100 nanti tinggal 30 sahaja,” katanya, lapor Astro Awani.
Muhyiddin berucap demikian ketika Program Makan Tengah Hari Bersama Jemaah dan penduduk setempat di PDM Bukit Treh, hari ini.
Tambahnya, semua pihak seharusnya berterima kasih kepada kerajaan yang melaksanakan PKP sebelum ini sehingga wabak COVID-19 ketika ini berjaya dikawal.
Sekali gus menjadikan Malaysia antara negara terbaik dari segi pengurusan COVID-19 dan pemberian vaksin.
Leave a Reply