ISTERI Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak menegaskan beliau tidak merestui mana-mana anaknya bertanding dalam pilihan raya melainkan atas tiket Pas.
Tuan Sabariah berkata, beliau dan arwah suami sudah mendidik anak-anak sejak kecil supaya istiqamah dengan perjuangan Islam bersama Pas.
“Saya tidak pernah merestui mana-mana anak saya bertanding dalam mana-mana pilihan raya kecuali di atas tiket Pas.
“Almarhum Tuan Guru dan saya sudah mendidik anak-anak sejak kecil supaya kekal Istiqamah dengan perjuangan Islam bersama Pas,” katanya menerusi kenyataan malam tadi, lapor Berita Harian.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada anaknya, Nik Omar yang bertanding di Parlimen Pasir Salak atas tiket Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Parlimen Pasir Salak menyaksikan pertembungan empat penjuru. Selain Khairul Azwan Harun daripada Barisan Nasional (BN) dan Nik Omar, kerusi itu juga ditandingi calon Perikatan Nasional (PN), Jamaludin Yahya dan calon PEJUANG, Zairol Hizam Zakaria.
Nik Omar sebelum ini pernah bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Kelantan namun tewas pada PRU14) di kerusi yang pernah disandang arwah bapanya.
Leave a Reply